SANDAKAN: Ketiadaan papan tanda larangan merokok yang jelas serta kegagalan menyediakan kawasan khas merokok di Lapangan Terbang Sandakan mencetuskan rungutan dalam kalangan pelancong dan orang awam.
Datuk George Hiew Vun Zin berkata, beliau menerima banyak aduan berhubung tindakan penguatkuasaan yang dikenakan ke atas individu yang merokok di kawasan luar bangunan lapangan terbang, khususnya di laluan ketibaan.
Menurutnya, masalah utama berpunca daripada kekurangan papan tanda larangan merokok yang jelas dan mudah dilihat, selain ketiadaan penandaan yang terperinci mengenai kawasan yang dibenarkan untuk merokok.
Beliau berkata, situasi itu bukan sahaja menimbulkan rasa tidak puas hati, malah dibimbangi boleh memberi kesan negatif terhadap imej Sandakan dan Sabah sebagai destinasi pelancongan.
“Di beberapa lokasi, terutama di laluan utama ketibaan dan ruang luar, tiada penunjuk yang mencukupi. Pelancong yang baru tiba sukar memahami peraturan sedia ada dan akhirnya melanggar larangan tanpa niat,” katanya.
George berkata, tindakan terus mengenakan kompaun dalam keadaan sedemikian boleh dianggap tidak adil kerana kesalahan itu berlaku akibat kekeliruan, bukannya keingkaran disengajakan.
Sehubungan itu, beliau telah mengadakan pertemuan bersama pegawai Lapangan Terbang Sandakan, Mohamad Nazri, serta Kaunselor Kesihatan Majlis Perbandaran Sandakan (MPS), Nicholas Choong, bagi membincangkan keperluan untuk meletakkan papan tanda larangan merokok yang jelas serta menyediakan kawasan khas merokok.
Beliau mencadangkan agar pihak berkuasa segera memasang lebih banyak papan tanda larangan merokok di lokasi strategik, selain memperincikan dengan jelas kawasan larangan dan kawasan yang dibenarkan merokok supaya mudah difahami pelawat.
“Sekiranya papan tanda telah dipamerkan dengan jelas dan masih berlaku pelanggaran, tindakan penguatkuasaan adalah wajar. Namun dalam keadaan pengunjung tidak dimaklumkan dengan baik, pendekatan memberi amaran lisan sepatutnya diutamakan,” katanya.
George turut menegaskan bahawa menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026, semua pihak berkaitan perlu lebih peka terhadap pengalaman awal pelancong sebaik tiba di negeri ini.
Beliau berkata, lapangan terbang merupakan pintu masuk utama pelancong dan sebarang pengalaman negatif di peringkat awal boleh memberi kesan besar terhadap persepsi keseluruhan mereka terhadap Sandakan dan Sabah.
