KOTA KINABALU: Kesatuan Guru-Guru Kerajaan Sabah (KGKS) pimpinan Murkam Hj Hussien mengorak langkah untuk menjalankan pengoperasiannya di tempat yang lebih strategik iaitu di pejabat baharu di Alamesra, Likas dekat sini.
Perasmian pejabat baharu KGKS itu disempurnakan oleh YBhg. Datuk Haji Raisin bin Saidin, Pengarah Pendidikan Negeri Sabah baru-baru ini.
Turut hadir pada majlis itu ialah presiden KGKS Murkam Hj Hussien.
Terdahulu, dalam ucapannya, Haji Raisin menyambut baik inisiatif KGKS menubuhkan pejabat baharu di Alamesra.
Menurutnya pewujudan pejabat baharu KGKS di Alamesra itu menandakan lembaran baharu dalam usaha memperkukuh perjuangan kebajikan serta hak warga pendidik di Sabah.
“Tahniah kepada seluruh kepimpinan dan ahli KGKS atas pencapaian ini. Semoga KGKS terus maju, kukuh dan dihormati,” katanya.
Haji Raisin juga gembira dengan peranan yang dimainkan oleh KGKS yang menurutnya banyak membantu guru-guru, terutama daripada segi kebajikan.
“Saya juga menghargai inisiatif KGKS yang memperkenalkan produk perlindungan insuran untuk ahli-ahli KGKS, sekali gus membantu daripada segi kemudahan perubatan,” katanya.
