Oleh: JT
KOTA KINABALU: Sabah Electricity telah menyumbang RM5.2 juta ke arah inisiatif bagi memartabatkan masyarakat, menyokong pendidikan, meningkatkan kebajikan dan melindungi alam sekitar.
Ketua Pegawai Komunikasi Korporat Sabah Electricity, Puan Lisa Wan Siew Han berkata, usaha Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) ini akan diteruskan pada tahun 2026, selaras dengan komitmen syarikat itu untuk memperkasa kesejahteraan rakyat Sabah.
“Kami percaya bahawa melalui CSR, kami bukan sahaja memberi tenaga kepada rumah dan industri, tetapi juga hati dan harapan.
Usaha CSR ini akan diteruskan pada tahun 2026, selaras dengan komitmen kami untuk memperkasa kesejahteraan rakyat Sabah,” katanya pada majlis jamuan tengah hari Sabah Electricity bersama Media, di Sabah Golf & Country Club, disini hari ini.
Lisa berkata, tahun 2026 akan menjadi tahun yang penuh dengan projek berimpak tinggi.
Katanya, projek-projek ini bukan sahaja penting untuk pembangunan tenaga di Sabah, tetapi juga akan menjadi media-worthy moments yang memberi peluang kepada media untuk bersinar dalam liputan dan penceritaan.
“Projek-projek ini akan menjadi peristiwa penting dalam perjalanan kami ke arah pertumbuhan yang mampan, dan kami berharap dapat bekerjasama dengan media untuk memaklumkan kisah ini kepada orang ramai,” katanya.
Lisa merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada semua rakan media atas sokongan yang tidak pernah putus.
“Liputan anda dalam setiap acara kami, khususnya ketika krisis, telah membantu menyampaikan maklumat dengan tepat dan telus.
“Kerajaan negeri sendiri memuji peranan media dalam memastikan rakyat mendapat keyakinan dan kejelasan. Untuk itu, kami benar-benar menghargainya,” katanya.
Sementara itu, Lisa berkata, jamuan tengah hari yang dianjurkan Sabah Electricity lebih daripada sekadar perhimpunan. Ia adalah perayaan perkongsian, amanah dan tanggungjawab bersama.
“Kami berharap hubungan strategik ini akan terus diperkukuh, supaya bersama-sama, kita dapat menyampaikan maklumat yang tepat, telus dan seimbang kepada rakyat,” katanya.
