KOTA KINABALU: Ucapan perbahasan Ahli Parlimen Sipitang, Datuk Matbali Musah ke atas Titah Diraja di Dewan Rakyat pada Selasa, sekali lagi menarik perhatian dan mendapat tepukan bergemuruh.
Beliau memulakan perbahasannya dengan berpantun bahasa Kedayan, iaitu salah satu etnik yang terdapat di daerah Sipitang.
“Tiap haie memakan nasi, lauk udang becampu lukan; Datuk Yang Dipertua, taima kasi, Sipitang badiie membahie ucapan,” katanya, disambut tepukan rakan-rakan Ahli Parlimen di dalam dewan.
Di pertengahan perbahasan, beliau menggunakan bahasa Brunai, ketika membangkitkan isu berkaitan pembinaan jalan raya, khususnya projek Pan Borneo.
“Isu ini telah saya bangkitkan saban tahun di Dewan Yang Mulia ini. Orang kampung saya bilang, sudah berbuih-buih kitani bekurapak sampaikan belagu di Parlimen, tapi macam inda jua kedengaran'," katanya.
Di penghujung ucapannya, beliau turut merujuk pantun dan lagu dari negara jiran bagi menyampaikan mesej berkaitan isu yang membelenggu negeri Sabah. "Sipitang berharap sungguh agar segala apa yang disuarakan ini, mendapat pertimbangan yang sewajarnya. Seperti pantun popular di tanah seberang,obor-obor ikan lele’, kita pun sudah tegur menegur berkali-kali'. "Janganlah juga, seperti lagu mereka, “tabola-bale”, semua ini ditolak balik-balik ke sana sini, hanya semata mata untuk mengelak daripada kebertanggungjawaban," katanya.
Matbali berkata semua Ahli Parlimen, sebagai penyambung lidah rakyat, harus merakyat dan sanggup berkorban, biarpun terpaksa membakar diri seperti lilin. Beliau mengakhiri ucapannya dengan menyanyikan rangkap pertama laguBiarku Menjadi Lilin’ oleh Kumpulan Pelangi, diikuti tepukan Ahli Parlimen yang lain.
Seni kata itu berbunyi “Biarku menjadi lilin, memberikan cahaya, terangi sekeliling, dengan diri terbakar, tak siapa yang sedar, di saat kegelapan, rela aku berkorban, demi satu harapan.’
