KOTA KINABALU: Hubungan erat antara kerajaan negeri Sabah dan Kerajaan Persekutuan penting bagi membawa kemajuan kepada rakyat dan negeri, kata Ahli Parlimen Sipitang, Datuk Matbali Musah.
Beliau berkata kerajaan Sabah pimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hj Hajiji Hj Noor, menghargai usaha dan komitmen Kerajaan Persekutuan dalam membantu pembangunan Sabah.
“Kerjasama erat ini penting agar agenda pembangunan negara dapat dilaksanakan secara seimbang dan inklusif.
“Walaupun dipisahkan oleh Laut China Selatan, Sabah tetap sebahagian daripada Malaysia dan wajar menerima perhatian pembangunan yang setara,” katanya.
Berucap membahas titah Diraja di Dewan Rakyat semalam, Matbali yang menjadi pembahas mewakili ketua parti berkata bahawa jurang pembangunan antara Sabah dan Semenanjung masih jelas dirasai walaupun negara telah lama merdeka.
Katanya, kekurangan dalam kemudahan asas dan infrastruktur terus memberi kesan kepada kehidupan rakyat.
“Justeru, iltizam politik yang kukuh amat diperlukan bagi memastikan kesejahteraan rakyat Sabah dapat dipertingkatkan secara berterusan,” katanya.
Menurutnya, rakyat Sabah hanya menginginkan kehidupan yang selesa, bermaruah dan terjamin.
Oleh itu, katanya, apabila hak Sabah dibincangkan dalam kerangka Kerajaan MADANI, ia bukan soal meminta keistimewaan, tetapi menuntut keadilan berdasarkan persetujuan yang telah dimeterai sejak penubuhan Persekutuan Malaysia.
“Rakyat Sabah tidak menuntut perkara berlebihan, sebaliknya berharap agar hak asas yang telah dijanjikan dapat dilaksanakan dengan konsisten dan berkesan,” katanya.
Dalam pada itu, Matbali berkata isu hak Sabah yang termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) terus diberi perhatian.
Menurutnya, komitmen Kerajaan MADANI dalam melaksanakan sebahagian besar tuntutan MA63 wajar dihargai, dan diharapkan baki tuntutan dapat disempurnakan demi memastikan keadilan kepada rakyat Sabah.
Selain itu, katanya, pertambahan kerusi Parlimen bagi Sabah dan Sarawak juga perlu dipertimbangkan secara serius.
“Keluasan kawasan dan cabaran geografi Sabah memerlukan perwakilan yang lebih berkesan agar suara rakyat dapat disampaikan dengan lebih menyeluruh di peringkat nasional,” katanya.
