BEAUFORT: Anggota Parlimen Sipitang Datuk Matbali Musah yang lantang memperjuangkan isu hakisan dan masalah banjir yang nyata menjadi kerisauan rakyat setempat, khususnya di kawasan rendah di Lumadan dekat sini, bertekad untuk menyuarakan perkara itu di Dewan Rakyat pada 19 Januari ini.
Beliau berkata masalah tersebut wajar diberi keutamaan memandangkan kawasan Beaufort, terutama di kawasan DUN Lumadan yang terletak dalam kawasan Parlimen Sipitang, sering dilanda banjir.
Menurutnya, tahun lepas sahaja kawasan Lumadan atau Beaufort dilanda banjir berulang sebanyak 12 kali.
“Di Lumadan inj, banyak perkara yang perlu kita perjuangkan terutama hakisan yang berlaku di kawasan rendah…inilah yang menimbulkan keresahan dan kegelisahan penduduk di sini.
“Selain itu, isu tebatan banjir perlu diberi perhatian dan Inshallah perkara ini saya suarakan dalam sesi perbahasan sidang Parlimen pada 19 Januari ini,” katanya.
Matbali berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan program agihan bakul makanan di beberapa kampung kawasan DUN Lumadan hari ini.
Antara kampung-kampung yang terlibat dengan program agihan bakul makanan itu ialah Kg Jabang, Kg Kukub, Kg Indulibai dan Kg Kangsa.
Turut hadir pada majlis itu ialah ADUN Lumadan Datuk Ruslan Muharam yang juga Pembantu Menteri Pertanian, Perikanan Dan Industri Makanan Sabah.
Pada masa yang sama, Matbali berkata beliau akan berbincang dengan Ruslan untuk mencari jalan terbaik menangani masalah yang berkaitan banjir dan hakisan.
Sementara itu, Ruslan berharap bantuan bakul makanan itu dapat meringankan beban mangsa-mangsa banjir di kawasan Lumadan.
Katanya bantuan makanan kerajaan yang disalurkan oleh pejabat daerah itu juga akan diberikan kepada mangsa-mangsa banjir yang lain di Lumadan.
Ruslan berkata ini menunjukkan kesungguhan dan keprihatinan kerajaan negeri membela nasib rakyat, termaauk mangsa-mangsa banjir di Lumadan.
