KGKS zahir sokongan cadangan kembalikan UPSR, PT3

KOTA KINABALU:  Kesatuan Guru-Guru Kerajaan Sabah (KGKS) menzahirkan sokongan terhadap cadangan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) untuk menjalankan kajian semula sistem pentaksiran pendidikan negara.

Ini termasuk cadangan untuk mengembalikan semula Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) atau Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR).

Presiden KGKS Murkam Hj Hussien berkata langkah tersebut mencerminkan keterbukaan KPM dalam menilai dan menambahbaik sistem penaksiran pendidikan mengikut keperluan semasa.

“Bagaimanapun, KGKS berpendapat bahawa pandangan semua pihak, termasuk ibu bapa dan masyarakat wajar diambil kira sebelum cadangan itu dilaksanakan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Murkam berkata sebarang kajian dan keputusan berkaitan sistem pentaksiran nasional perlu dilaksanakan secara telus bersama kesatuan guru, warga pendidik di sekolah, ibu bapa serta pihak berkepentingan yang lain.

Menurutnya kajian itu perlu menilai secara menyeluruh impak jangka pendek dan jangka panjang termasuk kesediaan sekolah, latihan guru, kebajikan murid serta kesesuaian dengan aspirasi pendidikan holistik.

Murkam turut menggesa agar mekanisme pelaksanaan dibuat secara adil dan tidak mengulangi kelemahan sistem peperiksaan yang terlalu berorientasikan peperiksaan semata-mata.

Sementara itu, Murkam mengucapkan selamat kembali ke sekolah kepada semua pelajar khususnya murid Tahun 1 sempena pembukaan sesi persekolahan baharu 2026.

Related Articles

253FansLike

Latest Articles