Hampir 2,200 pelajar terima manfaat Program Potong Rambut Percuma Ceasar’s Cut & Go

Oleh: John T

PENAMPANG: Hampir 2,200 orang pelajar merangkumi 19 lokasi terpilih di sekitar kawasan Penampang menerima manfaat Program Potong Rambut Percuma Ceasar’s Cut & Go yang dilaksanakan selama dua hari, pada 10 dan 11 Januari 2026.

Program ini dianjurkan oleh Ketua Bahagian Parti Gagasan Rakyat Sabah (PGRS) N.26 Moyog Datuk Ceasar Mandela Malakun, yang juga Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri Sabah, sebagai sebahagian daripada inisiatif kebajikan serta tanggungjawab sosial kepada komuniti setempat, khususnya golongan pelajar menjelang pembukaan sesi persekolahan baharu.

Pelaksanaan program ini memfokuskan kepada kawasan padat penduduk, kampung-kampung serta beberapa kedai gunting rambut terpilih, dan melibatkan kawasan sekitar Penampang sahaja.

Pemilihan lokasi dibuat secara strategik bagi memastikan bantuan dapat disalurkan secara terus, berkesan dan memberi manfaat maksimum kepada komuniti setempat.

Objektif utama program ini adalah untuk meringankan beban kewangan keluarga, di samping membantu meningkatkan keyakinan diri para pelajar melalui penampilan yang kemas serta persediaan yang lebih baik untuk kembali ke sekolah.

Sepanjang pelaksanaan program, ibu bapa dan penjaga pelajar rata-rata merakamkan penghargaan serta ucapan terima kasih atas inisiatif ini yang disifatkan sangat membantu, khususnya dalam mengurangkan kos perbelanjaan keluarga dan memberi manfaat langsung kepada anak-anak mereka.

Bagi memastikan kelancaran program, pasukan Ceasar’s Cut & Go dengan kerjasama komuniti setempat serta para sukarelawan telah turun padang di setiap lokasi terlibat.

Sambutan yang amat menggalakkan ini mencerminkan keperluan terhadap program kebajikan berasaskan komuniti di kawasan Penampang.

Pihak penganjur merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat secara langsung atau tidak langsung dalam menjayakan program ini, termasuk komuniti setempat, pemilik kedai gunting rambut serta para sukarelawan.

Adalah diharapkan agar inisiatif seumpama ini dapat diteruskan pada masa akan datang demi kebajikan pelajar dan kesejahteraan komuniti di Penampang.

Related Articles

253FansLike

Latest Articles