KOTA KINABALU: Lembaga Sukan Sabah (LSS) mengambil perhatian serius terhadap penularan sebuah video di media sosial yang memaparkan keadaan Dewan Gymnastik di Kompleks Sukan Kota Kinabalu.
Sehubungan itu, Lembaga Sukan Sabah ingin menegaskan bahawa siasatan awal telah dijalankan sebaik sahaja perkara ini dikesan, dan tindakan pembetulan telah serta sedang diambil terhadap isu-isu yang dibangkitkan.
“Pihak pengurusan tidak berkompromi terhadap sebarang perkara yang boleh menjejaskan keselamatan, keselesaan dan kepentingan pengguna kemudahan sukan.
“Lembaga Sukan Sabah tidak memandang ringan sebarang aduan awam dan menolak sebarang tanggapan bahawa isu ini diabaikan.
“Semua tindakan yang diambil adalah berdasarkan prosedur, keutamaan keselamatan serta peruntukan kewangan yang diluluskan,” kata kenyataan LSS hari ini.
Dalam hal ini, usaha penambahbaikan turut melibatkan perancangan melalui peruntukan khas bagi memastikan fasiliti berada pada tahap yang sepatutnya.
Lembaga Sukan Sabah juga ingin menegaskan bahawa video yang ditularkan tidak menggambarkan keseluruhan keadaan sebenar, usaha berterusan serta komitmen pihak pengurusan dalam menyelenggara kemudahan sukan di negeri ini.
“Pihak kami sentiasa meletakkan keselamatan dan kebajikan pengguna sebagai keutamaan utama,” kata kenyataan itu.
Walau bagaimanapun, Lembaga Sukan Sabah mengalu-alukan maklum balas yang berfakta dan bertanggungjawab daripada orang awam bagi tujuan penambahbaikan berterusan.
“Pihak kami akan terus mengambil tindakan sewajarnya demi memastikan kemudahan sukan di bawah seliaan LSS sentiasa berada dalam keadaan selamat, terurus dan berfungsi dengan baik,” kata kenyataan LSS.
