KOTA KINABALU: Anggota Dewan Undangan Negeri DUN Paginatan, mewakili KDM, Datuk Rusdin Riman mencadangkan agar kerajaan negeri menyediakan pelan pembangunan infrastrukur luar bandar secara menyeluruh untuk kawasan Ranau.
Ketika membuat seruan itu, beliau berkata keutamaan wajar diberikan kepada usaha menaik taraf jalan tidak berturap, penggantian jambatan kayu usang dan peningkatan tahap perkhidmatan jalan negeri.
Menurutnya langkah itu penting demi keselamatan dan mobiliti rakyat.
Rusdin berkata demikian ketika membahaskan Belanjawan 2026 di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, di sini hari ini.
Beliau turut mencadangkan agar sistem pengangkutan awam luar bandar yang bersepadu diwujudkan.
“Perkhidmatan bas pengantara dan sistem pengangkutan awam yang terancang perlu dibangunkan bagi merapatkan jurang mobiliti penduduk luar bandar serta menyokong sektor pelancongan,” katanya.
Rusdin juga mengesyorkan kawasan Rehat dan Rawat (R&R) dibina yang berorientasikan ekonomi komuniti.
Katanya ini termasuk R&R strategik di beberapa lokasi seperti Nunuk Ragang, Sagindai, Kilimu dan Monggis, sekali gus boleh menjadi pemangkin limpahan ekonomi dan keusahawanan tempatan.
Selain itu, Rusdin meminta kerajaan negeri supaya menyegerakan pembangunan pekal kecil Paginatan.
“Saya juga ingin mencadangkan agar diperhebatkan pelaburan dalam tenaga boleh baharu dan infrastruktur digital, pembangunan tenaga hidro, solar serta penyediaan WiFi komuniti luar bandar, katanya.
Sementara itu, Rusdin mencadangkan agar kerajaan negeri memasukkan pemberian khas 40% sebagai komponen hasil boleh terima dalam Belanjawan Negeri bagi memperkukuh kapasiti fiskal dan mempercepatkan pembangunan asas.
