AGM PBS Ke-40: Ujian Kesetiaan, Ketahanan Parti dan Relevansi Politik Sabah

Oleh: Dr. Jikat Binol Darimbang

KOTA KINABALU: Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) Parti Bersatu Sabah (PBS) kali ke-40 yang berlangsung pada 16 hingga 18 Disember 2025 wajar dirakam sebagai satu detik penting dalam sejarah perjuangan politik negeri Sabah. 

Setinggi-tinggi tahniah dan penghargaan diberikan kepada Jawatankuasa Pengurusan Pelaksanaan AGM yang telah berjaya menganjurkan mesyuarat ini dengan teratur, berdisiplin dan penuh makna, sekali gus mencerminkan kematangan organisasi sebuah parti berteraskan perjuangan rakyat.

AGM kali ini bukan sekadar perhimpunan tahunan rutin, tetapi menjadi cerminan daya tahan politik PBS yang telah melalui pelbagai rintangan, tekanan dan percubaan melemahkan parti sama ada secara terbuka mahupun terselindung. 

Dalam perjalanan panjang politik Sabah, PBS sering berdepan serangan daripada musuh politik dari luar, namun yang lebih mencabar ialah ancaman dari dalam — mereka yang berpura-pura setia tetapi hakikatnya menjadi duri dalam daging, berfungsi melemahkan parti demi kepentingan pihak lain.

Hakikat ini bukan sesuatu yang asing dalam kajian sains politik. Sejarah politik dunia menunjukkan bahawa kejatuhan sesebuah organisasi bukan semata-mata disebabkan tekanan luaran, tetapi kegagalan mengurus kesetiaan dalaman. 

AGM PBS ke-40 dilihat sebagai medan pembersihan politik yang sihat, di mana garis pemisah antara kesetiaan tulen dan kepentingan oportunis semakin jelas dikenal pasti.

Lebih membanggakan, sambutan dan respons terhadap AGM ini di seluruh Bahagian PBS di Sabah memperlihatkan momentum kesetiaan akar umbi yang masih kukuh dan hidup. 

Kehadiran, sokongan serta gelombang semangat yang ditunjukkan bukan sahaja menafikan dakwaan bahawa PBS sudah tidak relevan, malah membuktikan sebaliknya — bahawa PBS kekal menjadi rujukan penting dalam analisis politik Sabah, khususnya dalam kajian tentang ketahanan parti etnik, identiti negeri dan kesinambungan perjuangan tempatan.

Dari perspektif akademik dan politik, keupayaan PBS untuk terus menarik sokongan golongan muda dan dewasa adalah satu indikator signifikan. 

Ia menunjukkan bahawa nilai perjuangan PBS — hak negeri, keadilan sosial, autonomi dan maruah rakyat Sabah — masih mempunyai resonans merentas generasi. Dalam era politik yang sering didominasi oleh retorik populis dan kepentingan jangka pendek, PBS tampil sebagai parti yang membawa ingatan sejarah dan kesedaran masa depan.

Lebih penting, AGM ini mengukuhkan keyakinan bahawa PBS masih berpotensi dan layak untuk terus menjadi teras utama politik Sabah, sama ada sebagai parti teras dalam gabungan atau sebagai suara prinsip yang memperjuangkan kepentingan negeri.

Rakyat Sabah masih memerlukan parti yang konsisten dalam menuntut hak, mengurus keadilan dan mempertahankan kedaulatan negeri dalam kerangka Persekutuan Malaysia.

Keyakinan ini bukan bersifat sentimental, tetapi berasaskan realiti politik dan sejarah perjuangan. 

Selagi PBS kekal setia kepada prinsip asalnya dan berani melakukan pembaharuan dalaman yang jujur, selagi itulah parti ini akan terus menjadi pilihan dan sandaran rakyat Sabah.

AGM PBS ke-40 telah membuktikan satu perkara penting: PBS bukan sekadar sebuah parti politik, tetapi sebuah institusi perjuangan. 

Dalam landskap politik Sabah yang sentiasa berubah, PBS tetap berdiri — diuji, disaring dan diperkukuhkan oleh masa.

Related Articles

253FansLike

Latest Articles