TAWAU : Penasihat Pertubuhan Pencegahan Dadah dan Jenayah Sabah (PPDJS), Mohd. Zaki Harry Susanto menegaskan, keputusan Mahkamah Rayuan Paris yang membatalkan sepenuhnya Award Akhir dikeluarkan penimbang tara Gonzalo Stampa pada 28 Februari 2022 bukan bermaksud ancaman terhadap Sabah telah berakhir.
Menurutnya, walaupun Malaysia kini bukan sahaja dibersihkan daripada tuntutan timbang tara tidak sah dan penuntut Sulu turut diarahkan membayar kos berjumlah €200,000 (kira-kira RM959,180) kepada negara, episod ini perlu dijadikan peringatan keras bahawa keselamatan Sabah tidak boleh dipandang ringan.
“Ini kemenangan dari sudut undang-undang. Namun dari sudut keselamatan, geopolitik dan ancaman kedaulatan, ia tidak pernah berakhir. Kita tidak boleh leka,” katanya ketika diminta mengulas perkembangan terbaharu itu hari ini.
Mohd. Zaki berkata, apa yang lebih penting kini ialah memahami bahawa kejayaan Malaysia di mahkamah luar negara tidak mengubah hakikat bahawa kerajaan Filipina tidak pernah secara rasmi menggugurkan tuntutan sejarah mereka terhadap Sabah sekaligus menjadikan isu ini masih hidup dan berpotensi dimanipulasi pada bila-bila masa.
“Selagi Manila tidak membuat pendirian muktamad, Sabah tetap berdepan ‘imminent threats’, bukan hanya dari aspek tuntutan diplomatik tetapi juga risiko eksploitasi oleh pihak berkepentingan termasuk kumpulan tidak bertanggungjawab,” katanya.
Beliau berkata, sejarah pencerobohan Lahad Datu perlu menjadi pengajaran bahawa ancaman tidak semestinya bermula melalui saluran rasmi sebaliknya sering dimulakan melalui unsur provokasi, propaganda, atau gerakan kecil yang dilihat remeh pada peringkat awal.
“Saya percaya ESSCOM tidak memandang perkara ini sebelah mata. Apa yang berlaku di peringkat antarabangsa boleh mencetuskan gelombang tindak balas di lapangan terutama di Zon Selamat Timur Sabah (ESSZONE) yang menjadi pintu masuk paling dekat dan paling terdedah,” katanya.
Menurut Mohd. Zaki, pihak berkuasa perlu memperkukuh risikan, kawalan maritim dan pemantauan rangkaian sosial bagi mengesan sebarang pergerakan mencurigakan, termasuk usaha pihak tertentu menghidupkan kembali sentimen tuntutan ke atas Sabah.
“Kita tidak boleh menunggu isyarat jelas untuk bertindak. Jika negara lain boleh menggunakan saluran undang-undang untuk menekan Malaysia, bayangkan apa yang boleh dilakukan oleh elemen lain yang lebih ekstrem dan tidak terikat kepada protokol diplomatik,” katanya.
Beliau sekali lagi menegaskan bahawa kemenangan Malaysia di Paris ialah perkembangan positif, tetapi bukan lesen untuk berasa selesa atau menganggap Sabah kini bebas daripada risiko geopolitik yang telah lama membayangi negeri itu.
“Kesimpulannya, Malaysia mungkin ‘menang’ melawan Sulu di mahkamah tetapi dari sudut keselamatan Sabah, kita belum menang apa-apa. Kita perlu memperkukuh pertahanan negara kerana potensi ancaman boleh berlaku dalam situasi di luar jangka,” tegasnya.
