Mckery tumpu lima fokus perkasa penduduk Moyog

PENAMPANG: Calon Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM) Moyog mahu memberi tumpuan lima perkara mendesak untuk membantu menyelesai dan meningkatkan kesejahteraan hidup lebih 100,000 penduduk daerah ini.

Bagaimanapun, calon Ts McKery Victor Ninin ketika melancarkan manifesto parti itu bagi DUN Moyog berkata, mereka tidak perlu berlebih-lebih menjanjikan perkara yang tidak realistik tetapi memfokuskan apa yang dapat diselesaikan dengan segera.

“Saya amat dekat dengan para belia di daerah ini dan saya faham dengan keperluan mendesak mereka. Mereka adalah antara yang akan dibantu dan dipimpin nanti.

“Jika diberi mandat oleh rakyat Moyog, saya fokus kepada lima manifesto yang dirancang secara praktikal, berasaskan keperluan sebenar rakyat dan kekuatan tempatan,” katanya di majlis pelancaran manifesto selepas tamat penamaan calon di Pusat Kebudayaan pada Jumaat.

Pertama katanya, Moyog daripada dahulu lagi merungut mengenai masalah penyediaan kesihatan komuniti dan infrastruktur yang kurang mantap.

Selepas meneliti semua aspek beliau melihat perlunya memperkasakan lagi program seperti klinik bergerak dan program saringan kesihatan percuma ke seluruh kampung. Program ini juga akan menawarkan khidmat kesihatan asas yang mudah diakses, khususnya untuk warga emas dan keluarga B40.

“Kami juga akan perkasakan lagi kempen kesedaran kesihatan komuniti bagi mencegah penyakit dan menggalakkan gaya hidup sihat,” katanya menambah bahawa ini dapat dilakukan dengan mudah kerana beliau pernah menjadi ahli panel Kesihatan Penampang.

Fokus kedua adalah memperbaiki kemudahan yang paling asas dalam infrastruktur tetapi antara yang paling mendapat rungutan orang ramai.

KDM Moyog kata Mckery, akan melaksanakan projek pembersihan parit dan longkang secara berkala menggunakan kontraktor tempatan. Masalah parit tersumbat atau tidak diselenggara antara rungutan yang paling diterima.

“Kami akan menubuhkan Skuad Relawan Bencana Moyog bagi menghadapi banjir, tanah runtuh dan kecemasan. Skuad ini saya rasa belum ada di Moyog dan selepas berlaku bencana alam seperti banjir dan tanah runtuh baru-baru ini, kami dapati masalah perhubungan berlaku kerana kurangnya koordinasi di antara penduduk kampung dengan barisan keselamatan hadapan.

“Skuad ini akan membantu menggerakkan sukarelawan ke tempat dilanda bencana dengan serta-merta sebelum ketibaan pihak keselamatan seperti polis dan bomba. Kita belajar daripada kelemahan masa lalu,” jelasnya lagi.

Mckery yakin ia dapat dilakukan kerana latar belakangnya sebagai jurutera dan pakar teknologi dalam bidang lapangan selama lebih 20 tahun.

Katanya, sebagai permulaan kajian menyeluruh isu banjir dan trafik di laluan Penampang–Moyog akan dibuat bagi mencadangkan penyelesaian praktikal dan berkesan.

“Kita tidak mahu lagi sekadar bercakap tentang masalah lama tetapi mahu selesaikan masalah itu dengan tindakan konkrit,” tambahnya.

Beliau menaruh harapan tinggi terhadap kemajuan golongan belia dan usahawan di Moyog kerana baginya belia Moyog adalah tenaga masa depan dan penggerak ekonomi tempatan melalui pelbagai laluan.

Antaranya mengadakan kursus asas keusahawanan dan skim bantuan modal kecil untuk belia dan wanita. Mereka juga akan mewujudkan pasar bulanan Moyog untuk menjual hasil kampung, makanan tempatan dan produk kreatif.

KDM Moyog katanya mahu belia Moyog bukan sekadar pencari kerja, tetapi pencipta peluang.

Ini katanya dilakukan dengan memperkukuhkan ekonomi kampung melalui promosi homestay dan Zon Agro-Pelancongan sebagai tarikan pelancongan komuniti. Ini adalah galakan pendapatan tambahan melalui pelancongan, pertanian moden dan kraftangan tempatan.

“Kita mahu setiap kampung di Moyog menjadi produktif dan berdikari, bukan hanya menunggu bantuan, tetapi membina masa depan dengan kekuatan sendiri,” kata Mckery.

Fokus kelima adalah pendidikan, kemahiran dan masa depan digital yang menurut Mckery adalah amat penting untuk mewujudkan masa depan Moyog yang progresif dan dinamik di Sabah.

Katanya, ini dilakukan dengan memperjuangkan pendidikan berkualiti dan kemahiran masa depan dengan langkah-langkah seperti menambah pusat TVET dan kolej komuniti di Penampang dan Moyog.

“Kursus kemahiran praktikal seperti automotif, elektrik, kimpalan, kulinari, dandanan rambut, pertanian moden dan fesyen dan program re-skilling dan up-skilling untuk golongan dewasa yang ingin menambah ilmu atau bertukar bidang akan diberi tumpuan.

“Semua ini akan sukar dicapai jika kita tiada akses internet berkualiti di sekolah dan kampung. Oleh itu kita akan perkenal kelas digital dan asas kecerdasan buatan (AI) di peringkat komuniti.
“Kita mahu Moyog menjadi pusat kemajuan ilmu dan teknologi rakyat Sabah. Kita akan tubuh Pusat Digital Moyog sebagai pusat latihan dan inovasi teknologi tempatan,” katanya.

Menurut Mckery, perjuangan ini bukan perjuangannya seorang tetapi perjuangan semua demi untuk generasi yang akan datang.
“Kita semakin hari semakin berusia dan tanggungjawab kita adalah menjadikan Moyog yang lebih baik untuk anak-anak kita,” katanya.

Related Articles

253FansLike

Latest Articles