KOTA KINABALU: Sabah Electricity Sdn.Bhd. (SE) meminta semua parti politik agar tidak memasang sebarang bentuk bahan kempen di mana-mana premis dan pepasangan elektrik milik syarikat utiliti itu sepanjang tempoh kempen PRN ke-17
.Larangan ini termasuklah menampal atau menggantung bahan-bahan kempen seperti poster, bendera, gegantung dan sepanduk di menara penghantaran, tiang elektrik, peti pembekal, pencawang, tiang elektrik konkrit dan talian atas.
“Perbuatan ini boleh mengundang bahaya kerana berisiko mengakibatkan renjatan elektrik. Ia juga mungkin menyebabkan gangguan bekalan elektrik ke premis-premis penting sepanjang proses pilihan raya ini seperti Pusat-Pusat Penamaan Calon, Pusat Mengundi dan Pusat Penjumlahan Rasmi Undi,” kata Ketua Pegawai Operasi, Ir.Ts. Mohd Yusmanizam bin Mohd Yusof.
Menurut beliau pemasangan bahan-bahan kempen tersebut pula boleh menghalang warga kerja SE untuk mendapat akses untuk kerja-kerja penyelenggaraan dan pemulihan bekalan.
Mohd Yusmanizam turut mengingatkan orang ramai agar tidak memegang, membawa atau memasang tiang bendera di bawah mana-mana talian penghantaran elektrik termasuk tiang bendera yang diperbuat daripada buluh yang boleh menyebabkan renjatan elektrik kepada mereka yang berada berhampiran.
Menurutnya, aktiviti berbahaya ini juga menyalahi peruntukan Enakmen Bekalan Elektrik 2024iaitu mengganggu, mencacatkan atau merosakkan pepasangan elektrik.
Sebagai langkah pencegahan, SE menerusi rondaan rutin, akan bekerjasama dengan Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) dan pihak berkuasa untuk menurunkan bahan kempen pilihan raya yang berisiko menimbulkan bahaya dan masalah kepada pengguna.
Pada masa sama, SE juga memohon kerjasama semua pihak yang berkenaan agar mengelak melakukan kerja-kerja pengorekan tanah dalam usaha mengurangkan risiko menyentuh kabel elektrik, sekali gus menghindari kemungkinan berlaku gangguan bekalan elektrik akibat kerosakan kabel.Orang ramai yang ternampak situasi yang boleh mengancam keselamatan orang lain atau menjejaskan bekalan elektrik, boleh segera menghubungi Facebook Sabah ElectricityCareLine atau talian 15444 agar tindakan sewajarnya dapat diambil bagi mencegah perkara yang tidak diingini daripada berlaku.
