TAWAU : Menjelang pengumuman rasmi senarai calon Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan Pakatan Harapan (PH) bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17 hujung bulan ini, suasana politik di seluruh 73 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) kini semakin rancak dengan pelbagai spekulasi dan persiapan jentera parti.
Pengerusi GRS, Datuk Seri Hajiji Noor sebelum ini memaklumkan bahawa rundingan pengagihan kerusi bersama PH telah dimuktamadkan dan pengumuman rasmi dijangka dibuat dalam masa terdekat.
Menurut pemerhati politik, Mohd. Zaki Harry Susanto, gabungan GRS+PH dijangka mempertahankan majoriti sedia ada selain memberi tumpuan kepada beberapa kerusi baharu yang berpotensi dimenangi.
“Tumpuan kini beralih ke beberapa kerusi strategik termasuk DUN Merotai yang disifatkan sebagai antara kawasan penting di pantai timur. DUN berkenaan kini disandang oleh Sarifuddin Hata daripada Parti Warisan Sabah yang memenangi kerusi itu pada dua pilihan raya lalu.
“Menjelang PRN kali ini, nama Datuk Ruji Ubi, bekas Ketua Setiausaha (KSU) beberapa kementerian Persekutuan disebut-sebut sebagai calon paling sesuai untuk mewakili GRS+PH bagi menyaingi penyandang dari Warisan. Ruji yang juga anak jati Merotai dilihat mampu membawa pendekatan baharu dengan pengalaman luas dalam pentadbiran kerajaan pusat.”
Zaki turut yakin rakyat di DUN Merotai kini lebih terbuka menerima calon baharu seperti Ruji yang telah diakui kewibawaannya oleh PMX untuk menabur bakti di kampung halaman sendiri.
“Penampilan tokoh seperti Ruji diyakini mampu memperkukuh hubungan antara kerajaan negeri dan Persekutuan sekali gus memastikan kesinambungan pembangunan selain berupaya membawa manfaat kepada rakyat di kawasan tersebut. Pun begitu, Ruji memerlukan sokongan daripada segenap pimpinan GRS di DUN Merotai untuk memperkukuhkan dukungan di peringkat akar umbi,” tambah Zaki.
Dalam pada itu, Warisan dijangka kekal mempertaruhkan semula Sarifuddin untuk mempertahankan kerusi di DUN berkenaan.
“Bagi pengundi di Merotai, isu utama yang menjadi tumpuan termasuklah pembangunan luar bandar, peluang pekerjaan dan kemudahan asas. Penduduk berharap calon yang dipilih kali ini mampu membawa perubahan ketara serta lebih dekat dengan kerajaan pusat bagi mempercepatkan pelaksanaan projek tempatan.
“Jika nama Datuk Ruji Ubi disahkan sebagai calon GRS+PH, pertandingan di Merotai dijangka menjadi antara yang paling sengit dan mendapat perhatian meluas dalam PRN Sabah ke-17, ” tambah Zaki lagi.
Secara keseluruhan, 73 kerusi DUN bakal menyaksikan persaingan terbuka dengan tumpuan utama kepada kawasan yang boleh menentukan keseimbangan kuasa antara GRS+PH dan pembangkang selepas pilihan raya kali ini.
