Industri landskap bakal jadi pemacu ekonomi baharu Sabah

KOTA KINABALU: Industri landskap berpotensi besar untuk menjadi penyumbang baharu kepada pendapatan negeri Sabah menerusi pelaksanaan projek pembangunan berimpak tinggi yang akan diperkenalkan dalam Rancangan Malaysia ke-13 (RMK13), kata Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Seri Dr. Joachim Gunsalam.

Beliau berkata, kementeriannya telah menyenaraikan beberapa projek landskap utama di daerah tumpuan ekonomi termasuk Putatan, Kuala Penyu, Sandakan dan Kudat bagi memperkasa keindahan, kesejahteraan serta keterampilan kawasan pusat perniagaan utama (CBD) di negeri ini.

“Projek-projek ini akan menjadi pemangkin kepada peningkatan imej bandar, selain memperkukuh keupayaan perkhidmatan landskap di bawah pihak berkuasa tempatan. Ia selaras dengan matlamat Kerajaan Negeri untuk mewujudkan persekitaran mampan, indah dan mesra komuniti,” katanya ketika merasmikan Sabah Landscape Architecture Festival (SLAF) 2025 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini, hari ini.

Dr. Joachim berkata, SLAF menjadi platform penting untuk mempamerkan potensi besar sektor landskap sebagai satu industri bernilai tambah yang bukan sahaja memperindah kawasan bandar, tetapi turut menyumbang kepada ekonomi negeri melalui pembangunan taman awam, ruang hijau dan pelancongan lestari.

Menurutnya, landskap bukan lagi perlu dilihat sekadar pelengkap atau komponen akhir dalam pembangunan, sebaliknya menjadi asas dalam perancangan bandar, perumahan, pelancongan dan penjagaan sumber semula jadi.

“Pendekatan ini mampu mewujudkan keseimbangan antara pembangunan fizikal dan kelestarian alam, sekaligus menyokong aspirasi Sabah Maju Jaya,” katanya.

Beliau turut menegaskan bahawa penglibatan profesional dalam seni bina landskap amat penting bagi memastikan setiap projek pembangunan mengambil kira aspek ekologi dan keselamatan, terutama selepas kejadian tanah runtuh yang berlaku baru-baru ini.

“Landskap berfungsi sebagai pelindung semula jadi dan alat mitigasi risiko bencana, justeru ia mesti diberi tempat utama dalam reka bentuk pembangunan,” tegasnya.

Dr. Joachim berkata, kementerian melalui Dasar Landskap Negeri Sabah 2021–2033 akan terus memperkukuh usaha pembangunan hijau dan pelestarian alam bagi membina persekitaran yang harmoni serta inklusif untuk rakyat.

Beliau berkata, penganjuran SLAF 2025 menjadi satu penanda aras kepada pencapaian industri landskap negeri dan akan diperluaskan sebagai acara tahunan yang melibatkan penyertaan pihak berkuasa tempatan, industri serta komuniti.

“Melalui program seperti ini, kita dapat mengiktiraf sumbangan pemain industri tempatan yang berpotensi besar menyumbang kepada ekonomi dan pembangunan negeri,” katanya sambil memaklumkan Sabah Landscape Architecture Awards akan diperkenalkan tahun depan.

Beliau turut menyatakan bahawa SLAF kali ini berlangsung selama lima hari berbanding sehari pada tahun lalu, merangkumi seminar antarabangsa, pameran serta aktiviti komuniti di Taman Awam Teluk Likas.

Antara fokus utama seminar tahun ini ialah perkongsian pakar tempatan dan antarabangsa mengenai “Nature-Based Solutions”, iaitu pendekatan pembangunan berteraskan kelestarian alam semula jadi.

“Saya berharap penganjuran SLAF 2025 menjadi medan perkongsian ilmu dan inspirasi baharu yang akan membawa Sabah ke arah pembangunan landskap yang lebih lestari, kreatif dan berimpak tinggi,” katanya.

Turut hadir Setiausaha Tetap Kementerian, Datuk Dr. Jamili Nais.

Related Articles

253FansLike

Latest Articles