Bengkel Warisan Kesusasteraan Kadazandusun Perkukuh Identiti Budaya

KOTA BELUD: Semangat memartabatkan bahasa dan budaya tempatan terus disemarakkan melalui penganjuran Bengkel Warisan Kesusasteraan Kadazandusun yang berlangsung dengan jayanya di Sekolah Kebangsaan Tuguson, baru-baru ini. 

Program anjuran Jabatan Bahasa Kadazandusun, Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Kent, Tuaran itu dilaksanakan dengan kerjasama pihak sekolah sebagai sebahagian daripada usaha memperkukuh pengajaran dan pembelajaran bahasa serta kesusasteraan Kadazandusun di peringkat sekolah rendah.  

Program dua hari yang dijayakan sepenuhnya oleh siswa guru PISMP BKD Ambilan September 2021/ Julai 2025 bersama penyelaras program Zandi Rosmahwati Binti Ebbie dan Pengerusi Pelaksana Program Cik Georgina Andrea Leykhai Dominic telah menampilkan pelbagai aktiviti interaktif termasuk sesi perkongsian ilmu kesusasteraan melalui 7 bengkel iaitu tangon, susuyan, sundait, hiis taala-aala, andayayong, tinggono dan juga kiaton. 

Aktiviti-aktiviti itu bertujuan memberi pendedahan kepada para murid tentang keindahan dan nilai estetika dalam karya sastera Kadazandusun, di samping menanam semangat cintakan budaya dan kesusasteraan tempatan.  

Selain sesi perkongsian, siswa guru turut membimbing para murid tentang teknik kesusasteraan dengan baik seperti berpuisi (momolihis), bercerita (manangon) dan berteka teki (sundait).  

Dr Norafidah Binti Noralidin, pengarah IPG Kampus Kent berharap agar program ini bukan sahaja memberi impak kepada bakal guru tetapi juga kepada para guru dan murid-murid di SK Tuguson agar lebih faham akan usaha untuk melestarikan kesusasteraan masyarakat Kadazandusun.

Puan Rostinah Binti Gurid, Guru Besar SK Tuguson, menyatakan rasa syukur dan penghargaan kepada IPG Kampus Kent kerana memilih SK Tuguson untuk melaksanakan bengkel dua hari dalam usaha memartabatkan sastera masyarakat Kadazan Dusun untuk memastikan para guru dan murid akan menjadi lebih tahu dan lebih memahami aspek kesusasteraan ini. 

Beliau turut menzahirkan rasa syukur dan bangga dengan penganjuran program yang bukan sahaja menyemai kecintaan terhadap bahasa dan kesusasteraan Kadazandusun, tetapi juga memperkukuh jati diri serta semangat kebanggaan terhadap warisan budaya sendiri.

“Kami amat berbesar hati menerima kehadiran rombongan IPG Kampus Kent ke SK Tuguson. Kehadiran anda semua membawa semangat baharu dan memberi nilai tambah kepada usaha kami dalam memperkukuh pelaksanaan pendidikan kesusasteraan, khususnya dalam subjek Bahasa Kadazandusun,” ujar beliau.

Beliau juga berharap agar siswa guru BKD akan dihantar ke sekolah berkenaan untuk menjalani praktikum ataupun ditempatkan disekolah tersebut memandangkan sekolah belum mempunyai gurudari bidang Bahasa Kadazandusun sepenuhnya.

Mengakhiri ucapannya, perasmi berharap jalinan kerjasama antara IPG Kampus Kent dan SK Tuguson akan diteruskan pada masa hadapan sebagai langkah memperkasa warisan kesusasteraan Kadazandusun dalam sistem pendidikan negara.

Program itu turut dihadiri oleh Ketua Jabatan Bahasa Kadazandusun, Encik John Gitom yang menyatakan bahawa program sebegini akan dilaksankan sebagai salah satu program berterusan bagi memastikan setiap sekolah terutama sekolah yang menawarkan subjek bahasa Kadazandusun akan mendapat pendedahan awal tentang kesusasteraan masyarakat Kadazan Dusun.

Beliau turut menyatakan bahawa penganjuran program sebegini bukan hanya dapat memartabatkan keistimewaan sastera BKD tetapi juga bertujuan untuk merealisasikan hasrat dan aspirasi transformasi IPGM iaitu kluster 6 tentang meningkatkan kualiti pelajar serta kluster 8 untuk meningkatkan profesionalisme keguruan. 

Selain itu, beliau menegaskan bahawa bengkel kesusasteraan yang diadakan ini mampu memajukan serta menyediakan siswa guru dan juga murid-murid untuk menghadapi cabaran dalam era globalisasi kini. 

Bengkel tersebut berakhir dengan sesi penyampaian cenderamata dan fotografi kenangan, menandakan kejayaan satu lagi inisiatif penting dalam usaha memartabatkan bahasa dan budaya Kadazandusun di negeri Sabah

Turut hadir dan menyokong penuh program ini ialah pensyarah Jabatan Bahasa Kadazandusun, Dr Rosie Johnny dan Dr WIlfred Dousip.

Related Articles

253FansLike

Latest Articles