KOTA KINABALU: Ahli Parlimen Sipitang, Datuk Matbali Musah berharap Putrajaya segera merealisasikan apa yang sudah termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) tanpa bertangguh lagi.
Menurutnya, mahkamah sudah membuat keputusan dan tafsirannya, manakala undang-undang juga sudah memberikan ruang sewajarnya, justeru tinggal kemahuan politik saja untuk melaksanakannya.
“Kita tidak meminta bulan jatuh ke riba, cuma mengharap Putrajaya merealisasikan apa yang sudah tertulis dalam MA63, tanpa bertangguh lagi, tanpa alasan demi alasan yang berpusing seperti roda tanpa henti,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika perbahasan ke atas Belanjawan 2026 di Dewan Rakyat, dengan merujuk sesi penjelasan Perdana Menteri pada 22 Oktober berkaitan pendirian kerajaan MADANI mengenai pemberian khas untuk Sabah serta pelaksanaan MA63.
Sambil merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada Perdana Menteri di atas penjelasan itu, Matbali berkata ia memperlihatkan kesungguhan Kerajaan Pusat untuk memahami denyut nadi rakyat Sabah yang sekian lama menanti tindakan susulan terhadap perkara yang telah dipersetujui dalam perjanjian bersejarah itu.
“Yang nyata, penerangan Perdana Menteri itu menyingkap komitmen cukup jelas dan tuntas — bahawa kerajaan di bawah pimpinan Malaysia MADANI benar-benar prihatin terhadap hak, kepentingan dan kedudukan Sabah sebagaimana yang termaktub dalam MA63.
“Sejak sekian tahun, sebutan MA63 ini bagaikan puisi cinta lama — dibaca dengan penuh nostalgia, tetapi tidak dihayati maknanya.
“Namun, saya yakin kerajaan hari ini yang berjiwa MADANI, kasih cinta itu akan diterjemah dalam bentuk tindakan, dan bukan lagi sekadar dalam wacana,” katanya.
Menurutnya, Sabah hanya menuntut hak yang sudah tertulis dalam perjanjian itu.
Beliau membandingkan kemajuan di kota besar di Semenanjung yang dihubungkan dengan kereta api laju, dengan lebuh raya mulus enam lorong Plus dari utara sampai selatan, sedangkan di Sabah masih bergantung pada jalan-jalan kampung yang masih berlubang-lubang dan menunggu puluhan tahun untuk diturap.
Katanya, Sabah sering dianggap negeri kaya dengan hasil bumi, sedangkan rakyatnya masih miskin di dapur sendiri.
Justeru, katanya, apabila rakyat mempersoalkan keadaan itu, yang disergah bukan sejarah masa lalu, tapi yang dikecam kerajaan yang ada pada hari ini, iaitu kerajaan GRS-PH di peringkat negeri, dan kerajaan Malaysia MADANI di Putrajaya.
Matbali berharap kerajaan negeri dan Persekutuan sama-sama berganding bahu membangunkan Sabah.
“Ini bukan soal siapa yang lebih berjasa, siapa yang lebih berkuasa, tapi siapa sebenarnya yang lebih berjiwa rakyat.
“Kita tidak mahu lagi menjadi bahan gurauan politik, kononnya mundur, kononnya tidak pandai mengurus. Padahal urus tadbir tanpa kuasa penuh, hanyalah seperti kapal tanpa kemudi,” katanya.
Menjelang pilihan raya negeri Sabah tidak lama lagi, Matbali mahu semua pihak menggalas tanggungjawab yang tertulis dalam MA63 ini secara kolektif, supaya tidak menjadi bahan ejekan oleh para seteru politik.
“Marilah kita melaksanakan amanah ini dengan jujur dan bersungguh-sungguh, agar rakyat dapat melihat bahawa kerajaan yang ada hari ini benar-benar ikhlas.
“Janganlah MA63 ini hanya menjadi dendangan ketika kempen pilihan raya, tetapi hilang dalam senyap selepas musimnya berakhir,” katanya.
