Pencapaian GRS Buktikan Warisan adalah Penjual Ubat Sebenar

Kenyataan Media Datuk Nizam Abu Bakar Titingan, Ketua Penerangan Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat)

KOTA KINABALU: Kenyataan Datuk Seri Shafie Apdal yang menuduh Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Seri Panglima Hajiji Noor menjual ubat adalah cubaan mengalih perhatian daripada kegagalan pentadbiran Warisan yang masih segar dalam ingatan rakyat. Shafie boleh menuduh apa sahaja, tetapi rakyat tahu siapa yang sebenarnya menjual janji dan siapa yang bekerja dalam diam membawa hasil kepada Sabah.

Pelan Sabah Maju Jaya (SMJ) bukan slogan kosong seperti yang cuba digambarkan, tetapi satu pelan pembangunan negeri yang telah menunjukkan kesan ketara dalam tempoh singkat. Di bawah kepimpinan Hajiji Noor, hasil negeri Sabah mencapai paras hampir RM7 bilion pada tahun 2024. Hasil pendapatan ini merupakan hasil reformasi fiskal dan pentadbiran baharu yang memastikan kewangan Sabah ditadbir dengan baik. Pada masa yang sama, pelaburan bernilai RM11.37 bilion telah dicatatkan bagi tempoh Januari-Jun 2025.

Berkenaan isu air yang dijadikan modal politik oleh Warisan, kerajaan GRS sedang melaksanakan 18 projek infrastruktur air di seluruh negeri, termasuk Projek Empangan Air Tawau, Loji Rawatan Air (LRA) Kogopon 2 di Papar, dan Projek Menaiktaraf Muka Sauk Kabang yang dijangka siap tahun hadapan. Projek-projek ini adalah sebahagian daripada pelan jangka panjang untuk memastikan akses air bersih yang mampan kepada rakyat Sabah, bukan janji “setahun selesai” seperti yang pernah dicanang oleh Warisan. Usaha ini turut melibatkan pembinaan empangan baharu, pembesaran loji sedia ada dan naik taraf sistem agihan air yang berpuluh tahun diabaikan.

Di bawah pelan SMJ, jalan luar bandar telah dinaik taraf atau dibina semula bagi membuka akses kepada kawasan pedalaman dan mempercepat pembangunan ekonomi luar bandar.

Kerajaan GRS juga memperkenalkan Rumah Mesra SMJ yang telah menyiapkan lebih 7,000 unit rumah bagi warga Sabah dan memperluas skim Bantuan Tunai SMJ yang meringankan beban rakyat berpendapatan rendah.

Semua ini adalah hasil kerja keras kerajaan negeri di bawah pimpinan Datuk Seri Panglima Hajiji Noor. Rakyat Sabah tidak lupa bahawa semasa Warisan berkuasa, pelaburan besar hanya diumumkan di atas kertas, krisis air semakin teruk, dan banyak projek rakyat terbengkalai selepas dua tahun mentadbir.

GRS tidak menjual ubat. GRS sedang menyembuhkan kesan daripada pentadbiran lama yang gagal. Di bawah kepimpinan Datuk Seri Panglima Hajiji Noor, Sabah bergerak dengan tenang, berasaskan fakta dan hasil, bukan retorik. Rakyat tidak lagi perlukan sandiwara politik lama. Mereka mahu kerajaan yang bekerja, bukan yang berjanji.

Related Articles

253FansLike

Latest Articles