Pembentangan RUU Antibuli 2025 langkah tepat, kata Matbali

KOTA KINABALU: Ahli Parlimen Sipitang, Datuk Matbali Musah menyokong penuh keputusan kerajaan membentangkan Rang Undang-Undang (RUU) Antibuli 2025, demi menoktahkan gejala jenayah itu secara tuntas.

Katanya, isu buli bukan lagi perkara kecil, tetapi penyakit sosial yang serius dan membahayakan.

Beliau berkata tragedi yang menimpa allahyarhamah adik Zara Qairina menjadi peringatan keras bahawa tindakan tuntas perlu dilaksanakan segera.

“Pembentangan RUU Antibuli 2025 adalah langkah reformasi sosial yang amat tepat,” katanya berucap membahas Belanjawan 2026 di Dewan Rakyat semalam.

Matbali berkata reformasi pendidikan menyeluruh perlu digariskan dengan memberi tumpuan kepada pembangunan sahsiah, literasi digital, serta kesamarataan akses pendidikan untuk semua — termasuk anak-anak di kawasan pedalaman Sabah.

Selain itu, katanya, ia harus berfokus kepada sekurang-kuranynya lima teras utama, iaitu kesihatan mental, pendidikan kesihatan reproduktif dan sosial, larangan membawa bahan terlarang dan berbahaya, Dasar Perlindungan Kanak-kanak atau Child Protection Policy (CPP).

Dalam pada itu, Matbali turut menyatakan penghargaan kepada Kerajaan MADANI, khususnyaKementerian Komunikasi atas pelancaran program NADI on Wheels (NOW) di Sindumin, dalam kawasan Parlimen Sipitang.

Katanya, kehadiran Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil, serta seluruh pasukan kementerian merupakan satu penghormatan besar kepada rakyat Sipitang.

“Saya ingin menyatakan rasa syukur dan terima kasih kerana isu capaian internet dan jalur lebar yang telah saya bangkitkan berkali-kali di Parlimen akhirnya mendapat perhatian serius daripada pihak kerajaan.

“Dengan pelancaran inisiatif NOW itu, ia membuktikan bahawa suara rakyat luar bandar tidak sia-sia dan bahawa kerajaan mendengar serta bertindak demi kesejahteraan semua lapisan masyarakat,” katanya.

Related Articles

253FansLike

Latest Articles