Matbali sambut baik Belanjawan 2026, sifatkan ia berpaksi semangat Malaysia MADANI

KOTA KINABALU: Ahli Parlimen Sipitang, Datuk Matbali Musah menyambut baik peruntukan RM6.9 bilion untuk Sabah yang disediakan menerusi Belanjawan 2026 yang dibentangkan pada 10 Oktober lepas.

Beliau menyifatkan peruntukan tertinggi pernah diberikan oleh Kerajaan Persekutuan kepada Sabah, sebagai menyeluruh, segar, berani dan berpaksikan semangat Malaysia MADANI.

Katanya, Belanjawan 2026 itu bukan sekadar dokumen ekonomi, tetapi sebuah penghargaan besar yang digarap untuk keadilan sosial, pembangunan seimbang, serta keprihatinan mendalam terhadap rakyat di seluruh pelosok tanah air.

“Ia menjadi saksi bahawa Sabah kini bukan lagi wilayah pinggiran, tetapi nadi utama pembangunan nasional.

“Terima kasih Putrajaya, semoga jumlah peruntukan tahunan ini terus dipertingkatkan lagi di tahun-tahun mendatang,” katanya berucap membahas Belanjawan 2026 di Dewan Rakyat semalam.

Matbali berkata Belanjawan 2026 mencerminkan keberanian politik dan keikhlasan kepimpinan Kerajaan Perpaduan.

“Belanjawan ini bukan sekadar bajet kewangan, tetapi manuskrip harapan untuk rakyat dari Perlis hingga ke Sipitang.

“Ia menjadi kompas pembangunan masa depan negara. Kompas yang menunjuk ke arah kemakmuran inklusif, perpaduan nasional dan keadilan sosial.

“Setiap dasar yang dilakar ibarat benih harapan yang bakal tumbuh menjadi pohon kemakmuran buat generasi seterusnya,” katanya, sambil menegaskan Sabah terus berdiri teguh di belakang kepimpinan Kerajaan Perpaduan yang dipimpin oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Related Articles

253FansLike

Latest Articles