Kuatkuasakan standard Taska, Tadika demi keselamatan dan kualiti pendidikan awal – Dr Mornie

KOTA KINABALU: Pengerusi Kolej SIDMA Sabah, Prof. Dr. Mornie Kambrie menegaskan bahawa tahap penguatkuasaan terhadap pengendalian taska dan tadika di Sabah perlu diperkasakan bagi menjamin keselamatan serta mutu pendidikan awal kanak-kanak di negeri ini.

Beliau berkata, walaupun terdapat pelbagai garis panduan dan undang-undang berkaitan operasi institusi pendidikan awal, namun pelaksanaannya di peringkat lapangan masih longgar dan tidak menyeluruh.

“Kita dapati masih ada taska dan tadika beroperasi tanpa pendaftaran sah, tidak mematuhi nisbah guru kepada murid, serta kurang pemantauan berkala daripada agensi berkaitan. Ini bukan sahaja menjejaskan kualiti pembelajaran, tetapi juga keselamatan kanak-kanak,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa ditemui selepas majlis konvokesyen Kolej SIDMA kali ke 11 di Auditorium Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Sabah, di sini, hari ini.

Seramai 96 graduan Kolej SIDMA diraikan daripada jumlah itu, seramai 75 graduan menamatkan pengajian dalam Diploma Pendidikan Awal Kanak-Kanak, diikuti lima (5) Diploma Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan, 11 Diploma Pengurusan dan lima (5) Diploma Pengurusan Sukan.

Majlis tersebut dirasmikan oleh Profesor KHAIR Fakulti Pengurusan Pendidikan dan Kemanusian Universiti MAIWP,  Prof. Dr. Bustam Kamri dan turut dihadiri oleh Pengerusi Kolej SIDMA, Prof. Dr. Morni Kambrie, ahli lembaga pengarah serta warga pengurusan kolej.

Menurut beliau, kerajaan melalui jabatan berkaitan seperti Jabatan Pendidikan Negeri Sabah, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) perlu memperkukuh mekanisme pemantauan secara lebih agresif, termasuk tindakan tegas terhadap pengusaha yang gagal mematuhi piawaian minimum.

“Pendidikan awal merupakan asas kepada pembentukan modal insan. Oleh itu, ia tidak boleh dikendalikan secara sambil lewa. Setiap taska dan tadika perlu memastikan tenaga pengajar mereka terlatih dan berdaftar, selain mematuhi aspek keselamatan fizikal serta kebersihan premis,” tegasnya.

Prof. Dr. Mornie turut menekankan bahawa peningkatan penguatkuasaan bukan bertujuan menghukum, sebaliknya sebagai langkah mendidik dan membimbing pengusaha agar menambah baik kualiti perkhidmatan mereka.

“Pendekatan berbentuk pemantauan, latihan dan bimbingan profesional perlu dijalankan secara berterusan supaya semua institusi prasekolah di Sabah bergerak seiring dengan dasar pendidikan negara,” katanya.

Beliau turut menyatakan bahawa Kolej SIDMA komited melahirkan lebih ramai tenaga pengajar berkelayakan dalam bidang Pendidikan Awal Kanak-Kanak, bagi menyokong hasrat kerajaan meningkatkan standard industri ini di Sabah.

Sementara itu, Profesor KHAIR Fakulti Pengurusan Pendidikan dan Kemanusian Universiti MAIWP, Prof. Dr. Bustam berkata program Diploma Pendidikan Awal Kanak-Kanak yang menjadi tunjang utama kolej itu berjaya melahirkan pendidik profesional yang memahami keperluan pembangunan awal kanak-kanak, selaras dengan dasar pendidikan negara.

“Kolej SIDMA juga berjaya melaksanakan program-program baharu seperti Diploma Pengurusan Sukan yang bertepatan dengan keperluan industri semasa serta membantu melahirkan tenaga kerja berkemahiran dalam bidang pembangunan sukan tempatan dan kebangsaan,” katanya.

Prof. Dr. Bustam turut menegaskan bahawa pendidikan adalah satu perjalanan sepanjang hayat, dan kejayaan yang diraikan hari ini hanyalah permulaan kepada cabaran dunia sebenar.

“Pendidikan tidak berakhir dengan penganugerahan diploma. Teruslah menimba ilmu, mengasah kemahiran dan mengamalkan nilai positif untuk menjadi insan berdaya saing dan berintegriti,”katanya.

Majlis turut menyaksikan Tracey Jefirin dari Kota Marudu diumumkan sebagai Penerima Anugerah Pelajar Terbaik SIDMA 2025 bagi program Diploma Pendidikan Awal Kanak-Kanak, sebagai pengiktirafan terhadap kecemerlangan akademik dan disiplin tinggi beliau sepanjang pengajian.

Kolej SIDMA terus memperkukuh kualiti akademiknya melalui kerjasama strategik bersama Universiti Tun Abdul Razak (UNIRAZAK) dalam menawarkan pelbagai program di peringkat Asasi, Ijazah Sarjana Muda dan Pascasiswazah, termasuk Ijazah Sarjana Pendidikan (MEdu), Ijazah Sarjana Pengurusan (MIM) dan Doktor Falsafah (Ph.D).

Related Articles

253FansLike

Latest Articles