FPEP UMS laksana pemindahan ilmu kepada komuniti melalui Program Living Lab Penyediaan Makanan

KOTA KINABALU: Fakulti Perniagaan, Ekonomi dan Perakaunan (FPEP), Universiti Malaysia Sabah (UMS) melaksanakan program pemindahan ilmu kepada komuniti melalui Program Living Lab (Makmal Hidup) Penyediaan Makanan yang diadakan di Hotel Lab, FPEP UMS, baru-baru ini. 

Penyelaras program itu, Dr. Arif @ Kamisan Pusiran berkata, acara yang dikenali sebagai Program Living Lab @ Pantai Dalit Tuaran disertai 35 peserta dari komuniti Kampung Pantai Dalit. 

“Sepanjang bengkel berlangsung, peserta telah diberikan pendedahan tentang kaedah penyediaan sajian dengan teknik yang betul di samping mempelajari ilmu masakan yang diberikan.

“Ia bukan sahaja sebagai pemindahan ilmu dalam bentuk teori, tetapi turut memberi pengalaman praktikal kepada peserta, khususnya dalam bidang kulinari,” katanya.

Pensyarah FPEP yang juga Pengarah Pusat Alumni UMS itu berkata demikan dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Menurut Arif, program berkenaan merupakan sebahagian daripada usaha universiti memperkasa pembangunan masyarakat melalui aktiviti pembelajaran berasaskan pengalaman sebenar.

“Melalui bengkel ini, para peserta memperoleh beberapa pengetahuan baharu berkenaan masakan, termasuk cara hidangan dan kualiti bahan yang digunakan,” ujarnya. 

Beliau turut menzahirkan harapan agar usaha berterusan sedemikian dapat memperkukuh kemahiran masyarakat serta membantu mereka menjana pendapatan melalui bidang kulinari.

“Diharapkan agar usaha UMS membangunkan komuniti yang berkemahiran dalam bidang kulinari dapat diteruskan melalui pelaksanaan bengkel atau kursus khas kepada penduduk setempat,” tambah Arif lagi.

Untuk rekod, program yang diadakan sempena Program Living Lab @ Pantai Dalit Tuaran disertai 35 peserta dari komuniti Kampung Pantai Dalit. 

Bengkel sehari itu turut dikendalikan bersama seorang lagi pensyarah FPEP, Ahmad Shakani Abdullah.

FPEP UMS dalam kenyataan turut merakamkan penghargaan kepada semua peserta dan pihak yang terlibat secara langsung serta tidak langsung dalam menjayakan program berkenaan. 

Kejayaan bengkel itu dilihat sebagai salah satu bentuk sumbangan universiti kepada pembangunan kemahiran komuniti tempatan sejajar dengan matlamat Program Living Lab UMS untuk menghubungkan ilmu dengan kehidupan masyarakat.

Related Articles

253FansLike

Latest Articles