TUARAN:Jabatan Bahasa Kadazandusun Institut Pendidikan Guru Kampus Kent dengan kolaborasi bersama Sekolah Kebangsaan Bantayan, Tamparuli telah menganjurkan Mini Karnival Bahasa Kadazandusun yang bertempat di Sekolah Kebangsaan Bantayan, Tamparuli baru-baru ini.
Program itu telah berlangsung sebanyak dua kali iaitu pada 23 dan 27 Oktober 2025.
Ia disertai 18 orang pelajar PPISMP Bahasa Kadazandusun Ambilan Ogos 2025 yang merupakan pelaksana program bersama dengan Dr. Rosie Johnny selaku penyelaras program itu.
Program itu bertujuan memberi pendedahan kepada siswa guru mengenai pelaksanaan program inklusif khususnya dalam pengajaran Bahasa Kadazandusun dengan mengambil kira kepelbagaian keupayaan murid.
Selain itu, program tersebut mengasah bakat serta membina keyakinan diri pelajar untuk mampu berdiri di khalayak dengan lebih yakin.
Pada 23 Oktober lalu, para siswa beserta pensyarah IPG Kampus Kent iaitu Dr. Rosie Johnny dan Pn Rosmahwati binti Ebbie memulakan perjalanan ke SK Bantayan.
Acara dimulai dengan ucapan dan penjelasan tentang projek “Kapsul Tolu Miambalut” yang disampaikan oleh Dr. Rosie Johnny iaitu “BULI”, salah satu isu terhangat yang berlaku di sekolah sejak akhir-akhir ini.
Seterusnya, acara diteruskan dengan pembentangan secara digital yang disampaikan oleh siswa siswi IPG Kampus Kent.
Selepas pembentangan selesai, pelajar siswa membimbing murid-murid untuk belajar dan bagi persediaan dalam pertandingan membaca, bercerita dan pembentangan menggunakan digital.
Aktiviti itu memberikan pendedahan kepada para siswa dengan suasana di sekolah sebagai seorang guru terkhususnya dalam bidang Bahasa Kadazandusun.
Pada 27 Oktober 2025, merupakan hari terakhir program itu berlangsung yang menyaksikan pelbagai acara diadakan.
Ini termasuk acara pertandingan membaca daripada murid tahun 1 dan 2, pertandingan bercerita daripada tahun 3 dan 4 serta pertandingan mencipta pembentangan digital daripada tahun 5 dan 6.
Pertandingan itu diyakini dapat memberikan keyakinan kepada murid-murid sekolah rendah untuk tampil ke hadapan.
Setelah semua pertandingan selesai, majlis perasmian dan penutupan dijalankan. Majlis ini disertai oleh Pengarah IPG Kampus Kent, Dr. Norafidah binti Noralidin serta Guru Besar SK Bantayan iaitu Encik Jidil Jusep.
Majlis dirasmikan oleh Guru Besar SK Bantayan.
Beliau menzahirkan rasa bangga dan gembira dengan kolaborasi yang telah dilakukan bersama Jabatan Bahasa Kadazandusun IPG Kampus Kent dalam menganjurkan program ini kerana jelas terlihat bahwa murid-murid semakin tertarik dengan mata pelajaran BKD ini dan ilmu pengetahuan tentang Bahasa Kadazandusun mereka juga semakin bertambah.
Beliau berharap agar program seperti ini akan dilaksanakan lagi pada masa akan datang untuk berkongsi pelbagai aktiviti pengajaran dan pembelajaran berasaskan budaya, bahasa, kesenian dan keakrifan lokal masyarakat Kadazan Dusun kepada guru-guru dan murid-murid sekolah rendah.
Di akhir program ini, pelajar PPISMP Bahasa Kadazandusun Ambilan Ogos 2025 merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada Pengarah IPG Kampus Kent atas sokongan yang diberikan dalam program ini.
Terima kasih juga kepada Jabatan Bahasa Kadazandusun atas bimbingan yang diberikan kepada mereka sehinggakan program ini dapat dilaksanakan dengan jayanya.
Secara keseluruhannya, pelaksanaan program ini telah memberikan pengalaman yang amat berharga kepada para siswa guru, di samping memperkukuh hubungan antara pensyarah, pelajar dan warga sekolah dalam menjayakan misi memperkasakan ilmu dan Bahasa Kadazandusun terkhususnya di kalangan generasi muda.
