Forum Net Zero Borneo Perkukuh Kerjasama Lestarikan Warisan Alam Sabah

KOTA KINABALU – Penganjuran forum bertemakan Net Zero Borneo: Innovating for Sabah’s Environmental Legacy yang menghimpunkan penggubal dasar, ahli akademik dan pemimpin industri di Universiti Malaysia Sabah (UMS) mampu memperkukuh kerjasama ke arah masa depan Borneo neutral karbon. 

Naib Canselor UMS, Profesor Datuk Dr. Kasim Hj. Mansor, berkata forum tersebut menyediakan ruang perbincangan strategik untuk berkongsi pendekatan inovatif dalam melindungi kepelbagaian biodiversiti, merangka strategi pembangunan lestari dan mempercepat hala tuju Borneo ke arah neutral karbon. 

“Hanya melalui sinergi dan kesatuan tekad, kita dapat menghasilkan penyelesaian yang memberi kesan berpanjangan kepada alam sekitar dan masyarakat.

“Melalui sesi-sesi yang telah dirangka, kita akan meneroka pendekatan baharu dalam perlindungan alam sekitar, strategi pembangunan mampan dan hala tuju Borneo menuju masa depan neutral karbon,” jelasnya. 

Beliau berkata demikian ketika merasmikan forum tersebut di Insititut Biologi Tropika dan Pemuliharaan (IBTP) UMS baru-baru ini. 

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Penolong Naib Canselor (Strategik) UMS, Profesor Dr Mohammad Saffree Jeffree.

Tambahnya, UMS juga optimis bahawa hasil forum ini akan memperkukuh kedudukan Sabah sebagai peneraju kepada penyelesaian perubahan iklim di rantau Borneo, sekali gus memberi manfaat kepada generasi akan datang.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada IBTP, UMS atas penganjuran forum serta komitmen berterusan dalam mempromosi kesedaran alam sekitar dan kemajuan penyelidikan di UMS. 

Hadir sama dalam majlis itu Timbalan Ketua Penyelidikan Jaringan Penyelesaian Pembangunan Lestari (SDSN) Asia, Profesor Emeritus Dato’ ChM. Dr. Mazlin Mokhtar; Ketua Pegawai Penyelaras dan Pengurusan Tertinggi Sekreteriat Sabah Maju Jaya, Datuk Haji (Datu) Rosmadi Datu Sula; dan Pengarah IBTP UMS, Profesor Madya Dr. Fiffy Hanisdah Saikim.

Related Articles

253FansLike

Latest Articles