Penguatkuasaan Di Sabah Perlu Lebih Agresif – David Chan

KOTA KINABALU: Pengerusi Yayasan Pengguna Negara Malaysia (YPNM) Cawangan Sabah, David Chan, menggesa agensi penguatkuasaan di negeri ini supaya lebih agresif dan tegas dalam melaksanakan tugas bagi meningkatkan keyakinan masyarakat terhadap sistem pentadbiran dan undang-undang.

Beliau berkata, rakyat kini mahu melihat tindakan segera dan berkesan daripada pihak berkuasa, terutama dalam menangani isu-isu seperti penipuan pengguna, penyeludupan barang kawalan serta pelanggaran hak pengguna yang masih kerap berlaku.

“Kita tidak boleh hanya menunggu aduan dibuat atau isu menjadi tular sebelum bertindak. Penguatkuasaan perlu bersifat proaktif dan berterusan supaya rakyat yakin bahawa undang-undang dilaksanakan dengan adil dan tegas,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

David berkata, persepsi masyarakat terhadap ketelusan dan keberkesanan penguatkuasaan perlu dipulihkan melalui tindakan yang konsisten dan tidak pilih kasih.

Beliau turut mencadangkan supaya penguatkuasaan dilaksanakan secara bersepadu antara pelbagai agensi termasuk Kementerian Perdagangan Dalam Negeri (KPDN), Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bagi memastikan keberkesanan tindakan di semua peringkat.

“Apabila rakyat melihat agensi kerajaan bekerjasama secara terbuka dan profesional, ia akan menambah keyakinan mereka terhadap kejujuran sistem penguatkuasaan di Sabah,” ujarnya.

David berkata, YPNM Sabah komited untuk terus bekerjasama dengan pihak berkuasa bagi menyalurkan maklumat dan aduan daripada pengguna, selain memperkukuh kesedaran awam terhadap kepentingan melindungi hak masing-masing.

“Penguatkuasaan bukan hanya untuk menghukum, tetapi juga untuk mendidik dan mencegah. Masyarakat perlu merasai bahawa hak mereka dilindungi dan suara mereka didengari,” katanya.

Menurut beliau, YPNM Sabah turut menyokong sebarang inisiatif kerajaan yang bertujuan memperkukuh sistem penguatkuasaan serta mempertingkatkan integriti pegawai di lapangan bagi memastikan undang-undang dilaksanakan secara adil, telus dan berkesan.

Related Articles

253FansLike

Latest Articles