Rafie Datuk Robert disebut-sebut calon GRS DUN Bingkor

KENINGAU: Nama Rafie Datuk Robert, 38,  kini disebut-sebut dalam kalangan pemerhati politik tempatan sebagai antara calon muda berpotensi mewakili Gabungan Rakyat Sabah (GRS) di Dewan Undangan Negeri (DUN) Bingkor menjelang Pilihan Raya Negeri akan datang.

Rafie, yang berperanan aktif dalam pelbagai organisasi tempatan, dilihat sebagai pemimpin muda berwawasan dan mampu membawa pendekatan segar dalam pembangunan daerah, khususnya sektor pelancongan, kebudayaan, sukan, dan pendidikan.

Beliau kini memegang jawatan Setiausaha Pemuda GRS Pusat, Ketua Penyelaras Pemuda GRS Bahagian Keningau, serta Naib Presiden Sabah Football Association (SAFA). Rafie juga dikenali sebagai bekas Pengurus Sabah FC pada musim 2024/2025, di mana beliau berjaya mengekalkan kedudukan pasukan dalam tiga teratas liga, menonjolkan keunggulan kepimpinan anak muda dalam bidang sukan.

Pelantikan terbaru Rafie sebagai Board of Governance Geomatika College Keningau pada 15 Ogos 2025 menekankan lagi kredibiliti dan visinya sebagai pemimpin muda berwawasan dalam bidang pendidikan.

Di peringkat komuniti, Rafie berkhidmat sebagai Pengerusi Persatuan Pelancongan dan Kebudayaan Keningau, Timbalan Pengerusi Ahli Majlis Daerah Keningau, dan Pengerusi Jawatankuasa Penyelaras KDCA Daerah Keningau. Beliau menjadi penggerak utama Crocker Range Festival, acara tahunan berprestij yang berjaya menarik pelancong tempatan dan antarabangsa ke daerah ini.

Pemerhati politik tempatan, Harry Gitik menyifatkan potensi Rafie sebagai langkah tepat dan berani oleh GRS untuk memperkukuh barisan kepimpinan pelapis muda di kawasan pedalaman. Mereka melihat kemunculan beliau sebagai cerminan aspirasi baharu parti dalam memperkasa peranan anak muda melalui pendekatan inklusif dan berpaksikan tindakan.

“Rafie bukan sekadar simbol generasi muda, tetapi tenaga baharu yang mampu mengangkat semula semangat kemasyarakatan, ekonomi pelancongan, pembangunan sukan, dan pendidikan di Bingkor,” ujar Harry .

Rafie, yang dikenali dengan gaya kepimpinan terbuka dan mesra rakyat, sering turun padang menghadiri program komuniti serta mendengar terus pandangan masyarakat di peringkat akar umbi. Beliau menegaskan bahawa pembangunan daerah harus berasaskan kekuatan komuniti setempat serta keterlibatan aktif generasi muda dalam semua bidang — termasuk pelancongan, keusahawanan, kebudayaan, sukan, dan pendidikan.

Penganjuran Crocker Range Festival di bawah koordinasinya bukan sahaja mengangkat identiti budaya dan seni masyarakat pedalaman, tetapi turut memperkukuh imej Keningau sebagai hab pelancongan tanah tinggi yang berdaya saing.

Dengan latar belakang kepimpinan yang dinamik, pengalaman sukan profesional, pelantikan dalam lembaga pendidikan, dan kemampuan menghubungkan pelbagai komuniti, Rafie dilihat sebagai pelapis muda berpotensi untuk mengemudi Bingkor ke arah pembangunan lebih mapan, inklusif, dan berteraskan penyertaan rakyat.

Pemerhati juga berpandangan bahawa kemunculan tokoh muda seperti Rafie memperlihatkan kesediaan GRS membuka ruang kepada kepimpinan generasi baharu untuk meneruskan kesinambungan perjuangan parti di peringkat akar umbi.

“Bingkor kini menuju wajah baharu — di tangan generasi muda yang berani memimpin, bukan sekadar mewarisi. DUN Bingkor tidak rugi memperolehi permata anak muda ini,” kata seorang penduduk tempatan.

Related Articles

253FansLike

Latest Articles