SANDAKAN:Ahli Parlimen Sandakan dari DAP, Vivian Wong Shir Yee hari ini dalam sesi perbahasan Belanjawan 2026 di Dewan Rakyat menumpukan kepada isu bekalan elektrik dan air, sambil menegaskan bahawa keselamatan tenaga dan air di Pantai Timur Sabah perlu diangkat ke tahap strategi nasional bagi mengelakkan tragedi berulang seperti insiden gangguan elektrik selama 15 jam dan bekalan air terputus selama tiga hari bulan lalu.
Beliau berkata, kejadian hujan lebat dan tanah runtuh pada 13 September lalu yang menyebabkan menara penghantaran tumbang telah melumpuhkan grid elektrik dari Sandakan hingga Tawau, menyebabkan lebih 1.5 juta penduduk terjejas.
“Apabila satu menara tumbang boleh menyebabkan separuh negeri bergelap, ini bukan lagi isu kemudahan awam — tetapi isu keselamatan negara,” tegasnya.
Vivian menyambut baik peruntukan RM765 juta bagi projek Southern Link Transmission Line yang tertangguh sekian lama, namun menegaskan “ini hanyalah langkah pertama”.
Beliau mencadangkan agar kerajaan segera membina sebuah loji janakuasa baharu sekurang-kurangnya berkapasiti 300MW di Pantai Timur Sabah bagi menjamin keupayaan tenaga yang mampan dan stabil.
Menyentuh isu air, beliau berkata Loji Rawatan Air Segaliud sudah tidak mampu menampung keperluan semasa dan perlu dinaik taraf melalui pelaksanaan Fasa 2 serta penggantian paip utama yang uzur.
“Loji ini dibina pada tahun 2009, tetapi dengan pertumbuhan penduduk, peralatan yang semakin lama, ditambah pula dengan kejadian air masin dua tahun lalu yang merosakkan paip utama — penduduk kini sering berdepan tekanan air rendah dan gangguan bekalan.”
Beliau menegaskan, kestabilan tenaga bermaksud kestabilan air, dan meminta kerajaan menjelaskan berapa jumlah sebenar daripada RM1 bilion peruntukan menaik taraf sistem bekalan air Sabah yang akan disalurkan ke Sandakan, serta senarai projek terlibat.
Pembangunan Pengangkutan: Sekunder City Turut Nikmati Kemajuan
Vivian menegaskan bahawa pembangunan pengangkutan di Malaysia selama ini terlalu tertumpu di bandar utama seperti Kuala Lumpur, dan sudah tiba masanya kerajaan memberi tumpuan kepada bandar-bandar sekunder di Sabah dan Sarawak bagi mencapai keseimbangan pembangunan negara.
Beliau memuji kejayaan Kementerian Pengangkutan memperkenalkan sistem MyBas di Kota Kinabalu, yang membolehkan rakyat menikmati perkhidmatan bas awam yang selamat, menepati masa, dan menggunakan kad pintar, selain menikmati pas perjalanan My50 yang membantu mengurangkan kos sara hidup.
“Saya berharap sistem MyBas dapat diperluaskan ke Sandakan dan menjadi bandar pertama di Pantai Timur Sabah yang mempunyai sistem pengangkutan awam moden. Bayangkan bas merah jambu MyBas beroperasi di jalan-jalan Sandakan — ia bukan sekadar peningkatan pengangkutan, tetapi simbol kemajuan bandar,” katanya.
Beliau turut menyambut baik pengumuman penambahan dua jambatan udara (aerobridge) di Lapangan Terbang Sandakan bagi meningkatkan keselamatan dan keselesaan penumpang. Pada masa sama, beliau mencadangkan pelaksanaan sistem Electronic Pre-Alert Manifest (e-PAM) di lapangan terbang sekunder seperti Sandakan untuk mempercepatkan proses kargo udara, terutamanya barangan e-dagang dan logistik rantai sejuk, yang akan membuka peluang pekerjaan dan meningkatkan ekonomi tempatan.
Vivian turut menggesa kerajaan memperuntukkan dana bagi mendalamkan laluan masuk ke Pelabuhan Sandakan agar kapal bersaiz besar dapat berlabuh.
“Apabila laluan pelabuhan ini didalamkan, Sandakan berpotensi menjadi hab transhipment utama yang menghubungkan Selat Makassar dan memperkukuh kedudukan maritim Malaysia dalam rantau BIMP-EAGA,” jelasnya.
Setiap Peruntukan Mesti Diterjemah kepada Tindakan Nyata
Vivian mengingatkan bahawa kedua-dua kerajaan, Persekutuan dan Negeri, mesti memastikan RM6.9 bilion bajet pembangunan Sabah dan RM600 juta geran khas benar-benar digunakan bagi projek berimpak tinggi untuk rakyat.
“Angka bajet yang besar tidak bermakna tanpa pelaksanaan yang cekap dan tadbir urus yang telus. Hanya melalui pelaksanaan berkesan, pemantauan ketat dan integriti yang tinggi, barulah Belanjawan 2026 ini mampu membawa perubahan sebenar kepada rakyat Sabah,” katanya.
Vivian mengakhiri ucapannya dengan menyatakan sokongan terhadap Belanjawan 2026 dan berjanji akan terus memantau pelaksanaan semua projek utama di Sabah, khususnya di Sandakan, bagi memastikan “setiap sen dibelanjakan demi kesejahteraan rakyat.”
