DUN Sabah bakal dibubarkan Isnin atau Selasa ?

KOTA KiNABALU: Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah mungkin dibubarkan dalam minggu depan ini. 

Spekulasi pembubaran DUN mungkin pada awal minggu depan semakin hangat ekoran laporan para menteri dan ahli DUN Sabah sudahpun bersiap.

Ini dikatakan peluang terakhir terbaik bagi Kerajaan GRS mengumumkan pembubaran DUN sebelum ia terbubar dengan sendiri ekoran ada menyatakan tempoh lima tahun DUN dijadual tamat pada 10 November 2025.

Para pemerhati berpendapat Ketua Menteri Sabah Datuk Hajiji Noor diyakini akhirnya sudah ada tarikh keramat itu, lebih-lebih lagi Kerajaannya sudah berkecai ekoran keluarnya Star dan SAPP sebagai komponen kerajaan negeri GRS-PH.

Aktivis dan penganalisis politik tempatan, Dr Kanul Gindol, ketika diminta pendapatnya oleh Jesselton Times, berkata sebenarnya orang ramai sudah lama mengagak-agak DUN akan dibubar seawal tahun 2025 lagi tapi Hajiji “belum ada ilham”.

“Ramai juga terkejut dan hairan mengapa Hajiji dan GRS gagal menetapkan tarikh bubar. Kalau sudah minggu-minggu terakhir tempoh DUN mana ada lagi “element of surprise”nya,” katanya.

Dr Kanul berpendapat kegagalan memilih tarikh lebih awal mungkin ada kaitan dengan kagagalan kerajaan GRS mencapai kata sepakat dengan PH yang diterajui Perdana Menteri Datuk Anwar Ibrahim yang mahukan tidak kurang 13 kerusi untuk partinya saja, PKR.

“Dalam keadaan begitu, lapan komponen GRS terdedah kepada perpecahan kerana hampir semua komponen GRS, kecuali PGRS, PCS, LDP, agak vokal tidak mahu “parti Malaya” seperti PKR, DAP, Amanah dan komponen mereka Upko diberi kerusi di Sabah.

“Star misalnya paling rela pun beri laluan kepada PKR hanya di tujuh kerusi, itupun mesti menggunakan lambang GRS. Jika DAP dapat 10 kerusi, Amanah katakan 2-3 dan Upko 10, apa lagi yang tinggal untuk parti lokal?” katanya.

Menurutnya lagi, rakyat tidak dapat dipersalahkan jika mereka berpendapat Hajiji kelihatan “lemah” menangani walaupun hanya soal menentukan tarikh pilihanraya, dan menunggu ke saat hari-hari terakhir.

“Keadaan sentiasa hujan dan banjir kebelakangan ini malah berlaku orang terkorban tertimbus oleh tanah runtuh, ditambah masalah berpanjangan gangguan jalanraya berlubang, air dan elektrik tidak menyebelahi kita menghadapi pilihanraya umum.

“Saya rasa menunggu hendak membentangkan Belanjawan Sabah 2026 yang biasanya belanjawan negeri dibentang pada Jumaat terakhir setiap November, bukanlah satu pendapat yang bijak meskipun belanjawan itu boleh dibuat lebih awal,” katanya lagi.

Katanya lagi: “Siapalah yang mahu percaya lagi apa itu hanya janji-janji manis untuk menghadapi pilihanraya? 

GRS akan dihentam kiri dan kanan di media sosial dan bakal diperolok  orang ramai kerana kekalutan ini”.

Menurut Dr Kanul lagi, apapun tarikh terbaik mengundi yang boleh didapati sekarang ialah pada November ini, di mana parti-parti dan calon-calon terbabit perlu menyediakan lebih banyak keselesaan kepada para penyokong masing-masing, mungkin memberi mereka payung, pengangkutan atau air mineral.

“Saya rasa DUN Sabah bubar dalam Isnin atau Selasa ini, dan SPR akan bermesyuarat dua minggu selepas itu bagi menentukan tarikh penamaan calon dan hari pengundian dan lain-lain,” katanya.

Related Articles

253FansLike

Latest Articles