KOTA KINABALU: Kontinjen badminton Majlis Sukan Sekolah (MSS) Sabah akan menyertai Kejohanan Badminton Majlis Sukan Sekolah Malaysia (MSSM) yang berlangsung di Ipoh, Perak selama lima hari bermula 13 September ini.
Pengurus pasukan badminton MSS Sabah Joe Gary JR Martin berkata kontinjen itu akan berlepas ke Ipoh pada 12 Sept dan balik ke Sabah pada 18 Sept.
“Semua pemain telah menjalani latihan pusat di SK Pendidikan Khas Tuaran, Penampang selama tiga hari bermula 9 Sept dan kini siap sedia bertarung di Ipoh, Perak,” katanya.
Gary berkata demikian selepas majlis penyampaian bendera Sabah dan pakaian kontinjen kepada kontinjen badminton MSS Sabah yang disempurnakan oleh Ketua Penolong Pengarah Sektor Pembangunan Murid Datu Asrah Dato Ambas kepada PTPS badminton Jabatan Pendidikan Negeri Sabah Johny Justinus.
Pada majlis itu, penolong pengarah bakat murid (Sukan), Sektor Pembangunan Murid, Fauzee Pelih menyampaikan amanat bagi pihak Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri.
Fauzee berharap kontinjen badminton MSS Sabah dapat melakukan yang terbaik, sekali gus menaikkan imej negeri ini dalam arena sukan badminton.