PULAU GAYA : Pasukan Team Ranger berjaya menjuarai Kejohanan Bola Sepak Pulau Gaya 2025 yang disertai 32 buah pasukan kelmarin.
Apa yang menariknya ialah kejohanan anjuran Dr. Ritchie Jay Cheng dengan kerjasama Pemuda PGRS DUN Tanjung Aru N22 itu turut diselitkan dengan banner #JusticeForZara yang sekaligus turut menunjukkan bahawa warga Pulau Gaya ikut bersolidariti bersama #dunia ,meratapi Allahyarhamah Zara Qairina serta menuntut keadilan yang sewajarnya.
“Kejohanan ini bermula pada 2 Ogos 2025 di padang utama Pulau Gaya, dengan matlamat menggalakkan gaya hidup sihat, mengukuhkan perpaduan komuniti, serta menjadi platform mencungkil bakat-bakat bola sepak tempatan.
Sepanjang tempoh kejohanan, sambutan daripada penduduk dan penyokong sangat menggalakkan, mewujudkan suasana meriah dan penuh semangat kesukanan malah warta sekitar juga turut memberikan sokongan terhadap Allahyarhamah Zara Qairina,” jelas Ritchie yang juga merupakan Pengerusi Persatuan Cina Muslim Malaysia (MACMA) Sabah.
Pada majlis penutupan kelmarin, kesemua pasukan yang menang menerima hadiah dan trofi sebagai penghargaan terhadap disiplin dan semangat juang yang ditunjukkan di sepanjang kejohanan.
Dr. Ritchie menekankan betapa kepentingan belia dalam menerajui pembangunan komuniti dalam zaman ini.
“Kejohanan ini bukan sekadar pertandingan bola sepak, tetapi adalah platform memupuk semangat kerjasama, disiplin dan perpaduan dalam kalangan anak muda kita.
Pulau Gaya kaya dengan bakat, dan inisiatif seperti ini penting untuk menyokong potensi mereka,” katanya lagi.
Penganjuran kejohanan ini mencerminkan komitmen Dr. Ritchie Jay Cheng dan PGRS DUN Tanjung Aru dibawah kepimpinan Ketua Bahagian YB Datuk Awang Ahmad Sah Sahari untuk terus memperkasa belia, memupuk perpaduan, dan menyokong aspirasi Sabah Maju Jaya melalui pembangunan sukan di peringkat akar umbi.
