KDM dijangka letak calon Cina pada PRN akan datang

TAWAU: Timbalan Presiden Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM) Datuk Wetrom Bahanda membayangkan parti itu akan meletakkan calon Cina di kawasan majoriti Cina pada pilihan raya negeri (PRN) akan datang.

Beliau berkata masih ramai rakyat yang salah faham terhadap perjuangan sebenar parti KDM yang menurut mereka seolah-olah terhad kepada komuniti Kadazan Dusun Murut sahaja.

“Sebenarnya tanggapan itu tidak tepat…perkataan KDM itu merujuk kepada Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat iaitu parti untuk semua kaum,* katanya.

Wetrom yang juga Pengarah Pilihan Raya KDM berkata demikian ketika berucap pada majlis perasmian jentera pilihan raya N69 Sri Tanjung di sini pada Ahad.

Katanya selain DUN Sri Tanjung, terdapat beberapa pemimpin Cina di kawasan lain yang mempelawa KDM bertanding di situ.

“Pihak pimpinan parti sedang meneliti perkara itu dan tidak menolak kemungkinan akan meletakan calon Cina dalam PRN nanti ” katanya.

Wetrom turut mengulangi pendirian KDM untuk bertanding secara solo.

“Walaupun kita berdepan dengan parti lain dari Sabah dan Semenanjung namun ia tidak sedikit pun melunturkan momentum semangat kita berjuang habis-habisan untuk mencipta kejayaan dalam PRN,” katanya.

Wetrom menegaskan bahawa sekiranya KDM
berjaya membentuk kerajaan negeri, parti itu sedia bekerjasama dengan kerajaan Pusat.

Mengenai isu Ambalat, beliau berharap kerajaan negeri Sabah dapat dilibatkan dalam proses rundingan sebelum sebarang keputusan berhubung perkara itu dicapai.

Turut hadir pada majlis itu ialah naib-naib presiden – Gundohing Henry Saimpon, Dr Gaim James Lunkapis, Dr Oswald Aisat dan Jumardie Lukman, Setiausaha Agung Willie Jude, ketua bahagian Pensiangan Jackrison Kilan dan ketua penyelaras DUN Sook Gundohing Edward Kandok.

Related Articles

253FansLike

Latest Articles