SANDAKAN: Ahli Parlimen Libaran Datuk Suhaimi Hj Nasir menyatakan peranan ibu bapa dalam mendidik anak-anak tidak boleh dipandang ringan dan memerlukan ilmu, kesedaran serta pendekatan yang bijaksana, terutama dalam dunia hari ini yang penuh dengan cabaran seperti pengaruh media sosial dan tekanan hidup.
“Ibu bapa adalah tunggak utama dalam membentuk generasi masa depan. Justeru, kemahiran keibubapaan bukanlah sesuatu yang boleh dianggap remeh. Ia menuntut kesabaran, ilmu dan pendekatan yang efektif,” katanya Ketika merasmikan Bengkel Kemahiran Keibubapaan Siri 1 Peringkat Parlimen Libaran 2025, di Dewan PPR Taman Muhibbah, Batu 12 Sandakan, hari in.
Teks ucapan beliau dibacakan oleh Ketua Pegawai Perhubungan Parlimen P.184 Libaran, Zaini bin Tiksun.
Menurutnya, bengkel anjuran Pejabat KEMAS Daerah Sandakan itu merupakan satu inisiatif yang amat bertepatan dengan keperluan masyarakat hari ini dan selaras dengan semangat Malaysia MADANI yang menekankan nilai kasih sayang, hormat-menghormati dan tanggungjawab bersama.
Suhaimi yang juga Ketua Penerangan UMNO Sabah menegaskan bahawa bengkel sebegini memberi peluang kepada ibu bapa untuk menimba ilmu, berkongsi pengalaman serta memperbaiki pendekatan dalam mendidik anak-anak agar lahir keluarga yang harmoni, anak-anak yang berdisiplin dan masyarakat yang sejahtera.
“Bengkel tersebut memberi tumpuan kepada topik-topik penting termasuk komunikasi berkesan dalam keluarga, pengurusan emosi, dan pendidikan anak dalam era digital, yang disifatkan beliau sebagai amat relevan dengan cabaran semasa.
“Saya amat menyokong usaha KEMAS dalam memperkasakan ibu bapa di kawasan Libaran. Keluarga yang stabil dan berfungsi dengan baik akan menjadi asas kepada kemajuan masyarakat dan negara,” ujarnya lagi.
Ketua UMNO Bahagian Libaran itu berharap agar program seumpama ini dapat dilaksanakan secara berkala dan diperluaskan ke kawasan lain dalam Parlimen Libaran.
Suhaimi menggesa lebih banyak pihak termasuk agensi kerajaan, NGO dan pemimpin komuniti untuk turut serta dalam memperkukuh institusi keluarga.