SEMPORNA: UMNO Semporna kini mengorak langkah memperkukuh semula kedudukannya sebagai wadah utama perjuangan rakyat di pantai timur Sabah.
“Di bawah kepimpinan Abdul Manan Indanan, UMNO Semporna komited untuk mengembalikan kepercayaan rakyat dan memperjuangkan isu-isu tempatan menerusi pendekatan yang lebih inklusif dan berpaksikan rakyat,” ujar Datuk Seri Dr. Salleh Said Keruak semasa pelancaran perjumpaan Radu Tatap Radu (RTR) bersama jentera parti di Kampung Terusan Baru, Pulau Bum Bum, Semporna.
Salleh, yang juga Bendahari Barisan Nasional Sabah merangkap UMNO Sabah, turut mengimbas kembali kegemilangan UMNO sebagai teras kekuatan politik di Semporna sebelum menghadapi cabaran akibat perubahan landskap politik dan peralihan kuasa.
Sementara itu, Ketua UMNO Bahagian Semporna, Abdul Manan Indanan menegaskan, “Dengan semangat yang diperbaharui dan sokongan akar umbi yang semakin kukuh, UMNO Semporna kini bersedia untuk bangkit semula sebagai suara rakyat yang sejati.”
“Perjuangan UMNO tidak pernah terhenti. Kami tidak mahu terus dibelenggu nostalgia, sebaliknya membawa sinar harapan baharu demi masa depan Semporna yang lebih cerah,” kata beliau dalam ucapannya sempena majlis pelancaran RTR.
UMNO Semporna menzahirkan komitmen untuk memperjuangkan pembangunan seimbang, membantu golongan nelayan dan petani, serta memberikan tumpuan kepada pendidikan dan peluang ekonomi bagi generasi muda.
Dengan laungan slogan “UMNO Bangkit, Rakyat Terangkat”, Abdul Manan bersama barisan kepimpinan baharu bertekad untuk mengembalikan kekuatan parti sebagai pilihan utama rakyat menjelang pilihan raya akan datang.
Turut hadir bersama dalam majlis tersebut ialah Datuk Ir. Aziz Julkarnain, Setiausaha Politik kepada Ketua Perhubungan UMNO Sabah, bersama pemimpin-pemimpin parti serta komuniti setempat.