TAWAU: Rekod kejayaan yang dibuktikan oleh Kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) membuktikan komitmen dan keupayaan dalam mentransformasi negeri di bawah kerangka hala tuju Sabah Maju Jaya (SMJ).
Penganalisis politik, Mohd. Zaki Harry Susanto berkata, dari segi pencapaian ekonomi, Kerajaan GRS berjaya meningkatkan kutipan hasil negeri secara signifikan iaitu daripada RM5.45 bilion pada 2021 kepada hampir RM7 bilion pada tahun 2024.
“Ia bukti pengurusan fiskal yang cekap serta keberkesanan pelaksanaan dasar pembangunan negeri. Lebih membanggakan, jumlah perdagangan Sabah pada 2022 mencecah RM118.1 bilion, peningkatan 35.4% berbanding tahun sebelumnya.
“Sabah juga berjaya menarik pelaburan asing dan domestik berjumlah RM11.34 bilion pada 2023, sekaligus mengukuhkan kedudukan negeri sebagai destinasi pelaburan berdaya saing di Malaysia.”
Menurut Zaki lagi, dalam sektor industri pula, beberapa syarikat gergasi seperti SK Nexilis dan Kibing Group telah memilih Sabah untuk pelaburan besar masing-masing dalam industri kerajang tembaga dan kaca solar. Pelaburan ini bukan sahaja mencipta ribuan peluang pekerjaan, malah memperkenal teknologi tinggi ke dalam ekosistem perindustrian negeri.
“Kerajaan GRS turut giat membangunkan infrastruktur seperti pembesaran jalan utama di Tawau dan pembinaan Empangan Air Cinta Mata bagi mengatasi isu bekalan air serta kesesakan lalu lintas. Ia bukti bahawa keperluan asas rakyat menjadi keutamaan dalam halatuju pemerintahan Kerajaan GRS,” tambah Zaki.
“Di samping kemajuan ekonomi, aspek pembangunan modal insan turut diberi perhatian serius oleh Kerajaan GRS. Sebanyak RM127 juta diperuntukkan bagi bantuan pendidikan pada 2025, melibatkan lebih 10,000 pelajar melalui skim seperti BUDI, BAKTI dan Felo SMJ. Kerajaan negeri juga menoktahkan kemiskinan tegar menjelang Julai 2023. Ia satu kejayaan besar yang tidak pernah dicapai sebelum ini.”
Pada masa yang sama, Zaki juga berpendapat Program Rumah Mesra SMJ yang dilancarkan sejak 2022 membuktikan keprihatinan Kerajaan GRS kerana menyaksikan lebih 5,000 unit rumah dibina, dengan tambahan 3,000 unit lagi bakal menyusul.
“Dalam usaha memperkasakan autonomi negeri, Sabah kini mengawal sektor tenaganya melalui penubuhan Energy Commission of Sabah (ECoS), dan turut mencapai kejayaan dalam rundingan MA63 dengan peningkatan pemberian khas kepada RM600 juta. Tuntutan secara berhemah tidak pernah terhenti dan pasti akan dilanjutkan oleh Kerajaan GRS selagi menerajui pemerintahan di Sabah.
” Kerajaan GRS juga tidak melupakan peranan belia dan wanita. Belanjawan 2025 memperuntukkan lebih RM100 juta kepada pembangunan belia dan RM21 juta untuk pemberdayaan wanita, termasuk geran keusahawanan dan program latihan,” tambah Zaki lagi.
“Dengan catatan pencapaian ini, Kerajaan GRS bukan sahaja menepati aspirasi rakyat, tetapi juga membawa Sabah ke era pembangunan yang lebih mampan dan inklusif. Pencapaian ini menjadi manifestasi nyata bahawa Kerajaan GRS bukan sekadar gabungan politik tetapi sebuah kerajaan yang bekerja dan menyantuni rakyat.
“Rakyat Sabah perlu menolak dakyah pihak yang mempertikaikan kewibawaan Kerajaan GRS. Kita perlu berfikir secara matang dan adil dengan melihat kepada bukti, bukan janji semata-mata.
“Kerajaan GRS telah membuktikan bahawa kestabilan politik dan hala tuju yang jelas seperti Sabah Maju Jaya adalah asas kepada kemajuan sebenar negeri ini,” jelas Zaki.
Menjelang Pilihan Raya Negeri Sabah ke-17, pencapaian ini menjadi sandaran utama GRS untuk terus diberi mandat demi kelangsungan pembangunan, kemakmuran dan masa depan yang lebih cerah buat seluruh rakyat Sabah.