KOTA KINABALU: Politik perkauman yang sering berlaku di semanjung Malaysia, tidak wajar dibiarkan bertapak di Sabah.
Bekas Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak berkata ramai rakyat negara ini yang mempersoalkan kewajaran perkara seumpama itu berlaku selepas lebih 60 tahun merdeka.
Mengambil contoh keadaan di Sabah, beliau berkata masyarakat pelbagai kaum di negeri ini hidup dalam keadaan harmoni.
“Orang Kadazan, Dusun, Rungus, Bajau, Suluk, Irranun, Murut, Cina, Bugis dan lain-lain membesar bersama, bersekolah bersama dan menyambut perayaan antara satu sama lain tanpa halangan.
“Agama diamalkan dengan rasa hormat dan saling memahami. Masyarakat pelbagai agama sering memberi sokongan antara satu sama lain semasa sambutan keagamaan dan kebudayaan,” katanya dalam hantaran terbaharu di Facebook,
Salleh yang juga Adun Usukan berkata
keharmonian antara agama menjadi sebahagian daripada kehidupan seharian di Sabah.
“Dalam politik, memang wujud perbezaan sokongan parti, tetapi ia tidak memecah-belahkan masyarakat. Berbeza pandangan politik bukan alasan untuk memutuskan persahabatan atau hubungan kejiranan.
“Politik di Sabah lebih tertumpu kepada pembangunan dan keperluan rakyat—seperti peluang pekerjaan, jalan raya, pendidikan dan bekalan air bersih. Pemimpin datang daripada pelbagai latar belakang dan berkhidmat untuk semua lapisan masyarakat,” katanya.
Oleh itu, katanya isu perkauman tidak seharusnya diberi ruang bertapak di negeri ini.
“Keharmonian dan perpaduan yang wujud di Sabah adalah aset yang sangat berharga. Ia perlu dipertahan dan dipelihara.
“Teruskan hidup dengan semangat saling menghormati tanpa mengira kaum, agama atau pegangan politik,” katanya.