PUTRAJAYA: Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick bersetuju meluluskan peruntukan sebanyak RM50,000 bagi membantu keperluan Persatuan Pasar Budaya Borneo Seri Kembangan.
Peruntukan tersebut akan digunakan bagi menaiktaraf kemudahan yang diperlukan oleh usahawan daripada Borneo mencakupi 35 set khemah bermotifkan corak Pasar Borneo, meja, kerusi dan kelengkapan lain.
Ewon berharap peruntukan tersebut dapat membantu melengkapkan keperluan yang diperlukan, seterusnya merancakkan lagi aktiviti ekonomi di pasar budaya Borneo di Seri Kembangan yang diadakan setiap hari Sabtu sejak tahun 2016.
“Sempena sambutan Pesta Kaamatan Putrajaya, saya menemui Persatuan Pasar Budaya Borneo Seri Kembangan yang memaklumkan saya mengenai beberapa keperluan mereka terutama kemudahan-kemudahan tambahan yang diperlukan.
“Selepas meneliti permohonan rasmi yang disampaikan, maka saya bersetuju menggunakan peruntukan khas menteri saya sebanyak RM50,000 untuk membantu kelengkapan yang mereka perlukan. Saya akan berkunjung semula ke pasar Borneo ini untuk menyampaikan kelengkapan-kelengkapan tersebut kelak selepas diuruskan oleh persatuan.
“Ini merupakan komitmen saya untuk melihat lebih ramai penglibatan warga Sabah dan Sarawak dalam sektor keusahawanan termasuk di tamu mingguan. Saya yakin Pasar Budaya Borneo Seri Kembangan boleh menjadi pusat sehenti kepada komuniti Sabah dan Sarawak di Semenanjung untuk mendapatkan produk dan perkhidmatan yang berasal daripada negeri mereka,” katanya.
Ewon menyatakan demikian selepas pertemuan dengan Persatuan Pasar Budaya Borneo Seri Kembangan yang diketuai oleh Timbalan Pengerusi Nilisip Juin @ Akang, semasa sambutan Pesta Kaamatan anjuran KDCA Putrajaya, di sini, semalam.
Dalam pertemuan tersebut, Ewon turut dimaklumkan mengenai hasrat dan jemputan persatuan bagi menyempurnakan sambutan Hari Gawai dan Tadau Kaamatan 2025 anjuran persatuan tersebut pada Julai ini.