KOTA KINABALU: Perbezaan pendapat dan pandangan merupakan perkara biasa terutama dalam mendepani situasi yang luar biasa.
Bekas Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak berkata setiap kali rakyat dan pemimpin memberi pandangan, pasti ada yang setuju, tidak setuju atau berkecuali.
“Ini lumrah dalam masyarakat terbuka. Reaksi berbeza lahir daripada kepercayaan hidup, prinsip perjuangan atau kepartian yang dianut oleh seseorang,” katanya dalam catatan terbaharu di Facebook.
Oleh itu, Salleh yang juga Adun Usukan berkata semua pihak perlu menghormati pandangan orang lain.
“Berbeza tidak bermakna bermusuh. Demokrasi membina kekuatan melalui kepelbagaian pandangan.
“Yang penting, berbeza dengan fakta dan adab, bukan dengan emosi atau serangan peribadi,” katanya.
Beliau berpendapat bahawa fakta memperkasa hujah manakala emosi melampau hanya merosakkan wacana dan melemahkan perbincangan.
“Berbeza itu biasa. Adab dan fakta itu luar biasa. Mari kita amalkan perbezaan secara matang dan berhemah,” katanya