Perbincangan Politik Baharu Tanpa GRS–PH Plus Bersifat Pra-Matang

Kenyataan Media, Datuk Haji Nizam DSP Haji Abu Bakar Titingan, Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri Sabah
dan ADUN Apas

KOTA KINABALU: Saya menyambut baik dan menyokong kenyataan yang dibuat oleh Timbalan Setiausaha Agung Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Armizan Mohd Ali, yang menegaskan bahawa Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN17) Sabah perlu difahami berdasarkan konteks politik tempatan yang berbeza daripada model politik di peringkat Persekutuan.
Sebagaimana yang ditegaskan oleh Datuk Armizan, prinsip asal pembentukan Kerajaan Perpaduan adalah untuk memastikan kestabilan di peringkat pusat, tanpa mewajibkan formula politik seragam di peringkat negeri. Sabah mempunyai keunikan tersendiri yang perlu dihormati, sama seperti Sarawak dan Johor, dan sebarang pendekatan politik harus mengambil kira realiti serta sensitiviti politik setempat.
Kerjasama GRS dan PH Plus di Sabah adalah hasil rundingan yang matang selepas pembentukan Kerajaan Perpaduan, dan terbukti telah berjaya membawa kestabilan kepada pentadbiran negeri. Ini turut diterjemahkan melalui kejayaan pelaksanaan Pelan Pembangunan Sabah Maju Jaya, yang telah melonjakkan kemajuan dan kesejahteraan rakyat Sabah dalam pelbagai sektor termasuk pendidikan, infrastruktur, ekonomi digital, dan pengurusan sumber asli.
Saya juga ingin menegaskan bahawa mana-mana usaha atau perbincangan ke arah membentuk kerjasama politik baharu yang tidak melalui GRS–PH Plus dan tidak mengutamakan semangat muafakat yang telah dipersetujui, adalah bersifat pra-matang dan tidak menghormati mandat serta kestabilan yang telah dipupuk di negeri ini. Sebarang perubahan perlu berlandaskan perbincangan yang inklusif, menghormati struktur sedia ada, serta berteraskan kepentingan rakyat Sabah.
Dalam masa yang sama, saya merakamkan penghargaan kepada rakan-rakan Pakatan Harapan (PH) Sabah yang telah berdiri teguh mempertahankan kepimpinan Datuk Seri Hajiji Noor, ketika negeri berdepan perubahan politik besar di peringkat pusat. Ini membuktikan bahawa kerjasama yang berteraskan keikhlasan dan kepentingan rakyat mampu bertahan mengharungi apa jua cabaran.
Saya turut menzahirkan sokongan terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang konsisten memperjuangkan hak Sabah dan Sarawak sebagaimana termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63). Pendekatan beliau yang lebih progresif dan bersungguh-sungguh dalam memperkasa Sabah haruslah dihargai dan diteruskan.
Sehubungan itu, GRS akan terus bersikap terbuka dan komited meneruskan kerjasama bersama PH Plus di Sabah, demi kesinambungan pembangunan negeri dan kesejahteraan rakyat keseluruhannya.

Related Articles

253FansLike

Latest Articles