Akomodasi politik bawa kestabilan – Salleh

KOTA KINABALU: Bendahari Barisan Nasional Sabah, Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak, menegaskan bahawa akomodasi politik adalah kunci kepada kestabilan politik dan akan memastikan peluang yang saksama untuk kemajuan negeri.

Berucap dalam Seminar Kepimpinan anjuran Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS), bekas Ketua Menteri itu menyatakan penghargaan terhadap PBRS kerana kekal sebagai parti yang konsisten dalam Barisan Nasional (BN) dan terus memainkan peranan penting sebagai suara masyarakat luar bandar di Sabah.

Datuk Seri Salleh mengimbas kembali sejarah penglibatan PBRS dalam BN, dengan menekankan komitmen parti itu terhadap prinsip kesetiaan, kestabilan, serta perjuangan untuk kepentingan rakyat luar bandar, khususnya di kawasan pedalaman Sabah.

“PBRS kekal konsisten dalam Barisan Nasional dan terus menjadi jambatan penting antara rakyat luar bandar dengan arus pembangunan nasional,” katanya.

Mengulas perubahan landskap politik di peringkat negara dan negeri, Datuk Seri Salleh menekankan bahawa realiti politik baharu memerlukan pendekatan baharu berteraskan akomodasi politik.

Beliau menggariskan tiga keutamaan utama yang perlu menjadi asas perjuangan parti:

Membina naratif pembangunan berasaskan keperluan sebenar rakyat;

Memperjuangkan autonomi Sabah dalam kerangka Perlembagaan Malaysia;

Memfokuskan usaha mendekati generasi muda dan membudayakan politik yang matang dan progresif.

Datuk Seri Salleh turut menyeru semua pemimpin PBRS agar kekal komited dan memainkan peranan strategik dalam membangunkan semula kekuatan Barisan Nasional di Sabah.

Related Articles

253FansLike

Latest Articles