KOTA KINABALU: Institut Kajian Pembangunan (Sabah), (IDS) dan Perbadanan Pinjaman Sabah (SCC) dengan kerjasama Pejabat Daerah Beaufort akan menganjurkan Program Memperkasa Usahawan Wanita Muda Sabah: Kuasa Wanita, Kuasa Ekonomi, yang akan diadakan pada hari Sabtu, 26 April 2025, bertempat di Dewan Pa’ Musa, Beaufort.
Program ini merupakan sebahagian daripada inisiatif berterusan Memperkasa Usahawan Wanita Muda, bertemakan Let the Journey Begin, yang telah dilancarkan secara rasmi pada 26 Februari 2025. Inisiatif ini merupakan hasil kerjasama strategik antara IDS dan SCC dalam usaha memperluas akses kepada pembiayaan, bimbingan, latihan serta strategi pemasaran, selaras dengan komitmen Kerajaan Negeri untuk memperkasa wanita dalam ekonomi.
Antara objektif utama program ini termasuk mewujudkan rangkaian usahawan muda, meningkatkan kesedaran mengenai peluang sokongan perniagaan yang tersedia, serta memperkukuh literasi digital dalam kalangan wanita luar bandar.
Ketua Eksekutif IDS, Datuk Ts. Dr. Ramzah Dambul, dalam kenyataannya hari ini berkata, pemberdayaan wanita muda dalam keusahawanan merupakan strategi pembangunan mampan untuk negeri Sabah.
Menerusi program ini, IDS berusaha membina ekosistem sokongan yang inklusif bagi merangsang inovasi tempatan serta melahirkan generasi usahawan wanita yang berdaya saing, berpengetahuan dan berwawasan.”
Tambah beliau lagi, pendekatan holistik ini bukan sahaja membuka pembelajaran dan kerjasama, malah turut menyumbang secara signifikan kepada kemajuan sosioekonomi negeri Sabah.
Program ini dijangka menjadi pemangkin kepada pembangunan keusahawanan luar bandar, khususnya dalam kalangan wanita muda, sejajar dengan aspirasi negeri ke arah ekonomi yang inklusif, progresif dan mampan.
Untuk maklumat lanjut mengenai program ini, sila hubungi Penyelaras Program, Hjh. Royaini Matusin, melalui e-mel di royaini.matusin@ids.org.my atau hubungi 088-450 000.