Dakwaan 2,500 ahli KDM sertai GRS di Kuamut hanya propaganda politik – Willie Jude

KOTA KINABALU: Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM) menyangkal dakwaan kononnya 2,500 ahli parti itu di Kuamut telah menyertai Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

Setiausaha Agungnya, Willie Jude berkata, 2,500 ahli yang didakwa itu tidak pernah wujud kerana penyelaras yang dilantik sebelum ini tidak pernah menghantar borang keahlian kepada ibu pejabat KDM.

“2,500 ahli itu hanya dibuat-buat, setiap kali dia (penyalaras DUN Kuamut) mengadakan program juga, dia tidak pernah menggunakan logo parti.

“Begitulah kalau politik cari makan, dakwa ada 2,500 ahli tapi sebenarnya tiada, hanya sekadar ‘menyedapkan’ keadaan yang sebenarnya auta dan tidak berasas,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau mengulas video yang tular kononnya Ketua Bahagian KDM Kinabatangan yang juga Penyelaras DUN Kuamut, Laising Podok telah menyertai GRS bersama 2,500 ahli mereka, semalam.

Sementara itu, Willie berkata, tindakan ketua penyelaras parti itu di Kuamut yang menyertai GRS tidak memberi kesan kepada KDM.

Malah, katanya, KDM bersyukur kerana ‘virus’ parti itu lebih awal keluar sebelum ianya merebak menjelang Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN17).

“Saudara Laising sebenarnya memang dalam pemantauan kami kerana banyak aduan diterima mengenai dia daripada akar umbi dan ternyata ianya benar.

“Apa yang berlaku biarlah berlalu, yang penting KDM Kinabatangan terus fokus dalam menghadapi PRN17 nanti,” katanya.

Related Articles

253FansLike

Latest Articles