Legasi polisi Ewon diiktiraf dalam Ucapan Dasar Kerajaan Negeri Sabah

KOTA KINABALU: Dua program pembangunan luar bandar – Program Bekalan Elektrik Luar Bandar Alternatif (BELBA) dan Program Bekalan Air Luar Bandar Alternatif (BALBA) terus diiktiraf sebagai antara dasar penting dalam pembangunan negeri Sabah

Program itu diperkenalkan oleh Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick, ketika memegang portfolio Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah (KPLB) pada tahun 2018 hingga 2020.

Pengiktirafan tersebut disampaikan menerusi ucapan dasar Kerajaan Negeri Sabah oleh Tuan Yang Terutama Yang Dipertua Negeri, Tun Musa Aman, yang menyatakan keberkesanan pelaksanaan dua program utama iaitu BELBA dan BALBA dalam memperkasakan komuniti luar bandar dan pedalaman negeri Sabah.

Dalam ucapan, Tun Musa menegaskan bahawa dari tahun 2021 hingga 2024, sebanyak 46 kampung melibatkan 2,484 penduduk telah menerima manfaat daripada program BELBA, manakala 29 kemudahan air bersih telah disalurkan menerusi BALBA kepada pelbagai daerah pedalaman yang memberi manfaat kepada seramai 5,536 penduduk.

Menurut Ewon, beliau berasa gembira kerana dasar yang diperkenalkan ketika beliau menerajui KPLB Sabah terus dikekalkan dan menjadi sebahagian daripada agenda utama pembangunan kerajaan negeri sehingga hari ini.

“Ini satu contoh di mana polisi kita menjadi legasi dalam Kerajaan Negeri. Semasa saya di KPLB Sabah, saya perkenalkan program BALBA sebagai satu usaha membekalkan air terawat inovatif kepada kampung-kampung yang jauh dari punca air Jabatan Air.

“Manakala BELBA pula untuk membekalkan bekalan elektrik secara inovatif kepada rumah-rumah yang terpencil dan belum mendapat bekalan SESB,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri Istiadat Pembukaan Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah dan majlis sambutan Hari Raya Aidilfitri DUN Sabah, di DUN Sabah, di sini, pada Khamis.

Ewon berkata, kedua-dua program itu telah membuktikan keupayaan untuk memberi impak langsung kepada komuniti yang sebelum ini tidak menerima kemudahan asas.

Katanya lagi, program-program itu bukan sahaja menyumbang kepada peningkatan kualiti hidup penduduk luar bandar, malah mencerminkan komitmen berterusan kerajaan negeri untuk memastikan pembangunan yang inklusif dan saksama.

“Inisiatif tersebut terus memainkan peranan penting dalam menangani jurang pembangunan antara kawasan bandar dan luar bandar di Sabah,” katanya.

Related Articles

253FansLike

Latest Articles