Tidak wajar guna platform kebudayaan untuk tujuan politik peribadi – Warisan

Kenyataan Media Terence Au,
Ketua Wira Warisan Pusat

KOTA KINABALU: Penularan dua pucuk surat rasmi Tahun 2019, yang dikatakan mengandungi minit oleh bekas Ketua Menteri Sabah berkaitan permohonan dokumen pengenalan diri, telah menimbulkan pelbagai reaksi dalam kalangan masyarakat.

Semalam, Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) tampil dengan penjelasan rasmi bertarikh 7 April 2025 – satu langkah yang amat dihargai dalam suasana penuh spekulasi ini.

Dalam kenyataan tersebut, JPN menjelaskan secara tegas bahawa setiap permohonan MyKAS, MyPR atau MyKAD adalah tertakluk sepenuhnya kepada undang-undang dan prosedur sedia ada. Tiada sebarang surat sokongan hatta daripada pemimpin politik yang boleh menjamin kelulusan secara automatik. Permohonan tetap perlu melalui proses penilaian, semakan latar belakang dan verifikasi yang ketat.

JPN sebagai institusi teknokratik berperanan penting dalam menjamin integriti sistem pendaftaran negara. Oleh itu, cubaan menggambarkan seolah-olah pegawai kerajaan boleh dipengaruhi oleh minit atau surat pemimpin politik adalah satu penghinaan terhadap profesionalisme penjawat awam yang bertugas mengikut lunas undang-undang.

Ini adalah fakta yang jelas. Tidak wajar kita terus melemparkan andaian atau mencetuskan persepsi seolah-olah kelulusan boleh diberikan sewenang-wenangnya.

Kenyataan ini sekali gus menjawab dan meluruskan naratif yang cuba dibawa oleh pihak tertentu, termasuk Pengerusi Belia KDCA, saudara Steve Johnny Mositun.

Sebagai sebuah NGO mapan yang mewakili suara komuniti KDMR, kami menghormati pandangan beliau sebagai pemimpin belia. Namun, kami juga percaya bahawa isu teknikal seperti ini yang menyentuh dasar pentadbiran negara dan integriti jabatan kerajaan tidak wajar dipolitikkan secara terbuka, apatah lagi di media sosial.

Lebih mengecewakan, kenyataan yang bernada politik ini dikeluarkan atas kapasiti seorang pengerusi dalam badan kebudayaan belia. Ini menimbulkan persoalan tentang penyalahgunaan platform kebudayaan untuk tujuan politik peribadi.

Badan seperti Majlis Belia KDCA seharusnya kekal bebas daripada pengaruh politik partisan dan menumpukan kepada agenda pemerkasaan belia serta pemeliharaan budaya KDMR.

Kalau benar beliau mempunyai aspirasi politik, negara ini kaya dengan platform sah yang tersedia untuk membawa suara dan idea beliau dengan lebih konstruktif dan bertanggungjawab.

Kita semua sedar bahawa rakyat Sabah hari ini cukup matang. Mereka mahukan fakta, bukan persepsi. Mereka ingin penyelesaian, bukan sensasi. Dan dalam negeri yang berbilang kaum dan agama ini, kita semua bertanggungjawab memastikan keharmonian sosial terus terpelihara.

Bukan semua perkara perlu dipolitikkan. Ada isu yang patut kita selesaikan dengan kepala dingin dan hati terbuka demi masa depan negeri ini yang kita cintai bersama.

Sebagai rakyat biasa, kami hanya mahu yang benar ditegakkan. Fakta sudah cukup jelas. Hormatilah proses, dan jangan kita cemarkan integriti hanya kerana perbezaan persepsi.

Related Articles

253FansLike

Latest Articles