SANDAKAN: Ketua Penerangan UMNO Sabah Datuk Suhaimi Haji Nasir menyifatkan kenyataan Timbalan Ketua UMNO Sabah sebagai pendapat peribadi yang tidak mencerminkan pendirian parti.
Beliau berkata tiada sebarang kesan terhadap parti UMNO Sabah berhubung kenyataan berkenaan.
“Sebenarnya itu hanya kepentingan peribadi, bukan kepentingan rakyat dan bukan juga kepentingan parti.
“Mana-mana yang bercanggah dengan dengan pendirian parti adalah disifatkan sebagai kepentingan peribadi,” tegasnya ketika ditanya media semasa Majlis Rumah Terbuka Parlimen Libaran di Aisyadelia Cottage Batu 14 Sandakan, pada Sabtu.
Sebelum itu, Ketua UMNO Sabah Datuk Seri Panglima Bung Moktar Radin menyifatkan UMNO Sabah dilabelkan stabil mestipun Timbalannya, Datuk Abdul Rahman Dahlan mempertikaikan proses pemilihan calon PRN ke-17..
Sebelum ini, Bung Moktar dipetik sebagai berkata bahawa UMNO Sabah kini dalam keadaan bersedia untuk menghadapi PRN 17 walaupun terdapat percanggahan dalam antara parti itu sendiri.
Berkenaan tiga kerusi dalam Parlimen Libaran, Suhaimi yang juga Pengerusi BN Libaran berkata kerusi DUN Gum-Gum kini bukan dimiliki BN.
“BN komited memastikan ia menjadi miliknya pada pilihanraya negeri kelak dengan dua lagi kerusi tradisi di kawasan Libaran iaitu DUN Sungai Manila dan Sungai Sibuga.
“Apa yang penting, BN Libaran amat komited memastikan kemenangan dalam membentuk kerajaan negeri kelak samada ia bergerak solo mahupun tidak dalam pilihanraya itu nanti, yang mana calon juga akan ditentukan pimpinan parti itu apabila tiba pilihanraya tersebut,” katanya.
Sementara itu mengenai majlis rumah terbuka, Ahli Parlimen Libaran ini berkata, majlis rumah terbuka itu antara lain memupuk perpaduan dan keharmonian masyarakat berbilang latar yang hadir lebih 10,000 pengunjung.
Suhaimi dan isteri, Dato’ Nur Nazimah Hashim menerima kehadiran pengunjung pada majlis rumah terbuka itu sejak jam 10.30 pagi yang berakhir jam 4 petang.
Rumah terbuka itu diserikan dengan kehadiran Pengerusi BN Sabah yang juga Ahli Parlimen Kinabatangan (Bung), Ahli Parlimen Sandakan Vivian Wong, ADUN Sukau Datuk Jafry Ariffin, ADUN Sungai Manila Datuk Mokran Ingkat, ADUN Gum-Gum Arunarnsin Taib, ADUN Elopura Calvin Chong, Pengerusi MCA Libaran Dato’ Chin Kim Hiung, ketua-ketua bahagian UMNO Sabah, pemimpin-pemimpin masyarakat Cina dan pegawai-pegawai kerajaan.