Ewon luluskan peruntukan RM300,000 bina Tamu Desa Tomborungus

KUDAT: Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick, bersetuju meluluskan peruntukan sebanyak RM300,000 untuk pembinaan premis Tamu Desa di Tomborungus, Kudat.

Beliau perkara itu semasa lawatan kerja ke kawasan Kudat bagi memantau pelaksanaan program pembangunan premis tamu desa dan bantuan pembangunan koperasi yang disalurkan sebelum ini.

“Saya sangat berpuas hati dengan pelaksanaan premis Tamu Desa di Sikuati, Kudat dan Matunggong serta beberapa bantuan pembangunan koperasi yang telah diberikan. Sempena lawatan kerja ini, saya dimaklumkan oleh wakil rakyat Parlimen Kudat, Datuk Verdon Bahanda, mengenai keperluan tambahan premis tamu desa di Tomborungus.

“Buat masa ini, para usahawan di sana masih menggunakan kanopi, dan selepas meneliti keperluan tersebut, saya bersetuju meluluskan peruntukan RM300,000 agar premis tamu desa dapat dibina tahun ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Majlis Berbuka Puasa Bersama Anggota Koperasi Kudat, semalam.

Ewon berharap kemudahan itu akan memberi manfaat kepada para usahawan tempatan, sebagaimana yang telah dinikmati oleh peniaga di Tamu Desa Sikuati.

“Sebelum ini, mereka hanya berniaga di bawah kanopi yang terdedah kepada panas terik dan hujan serta perlu diganti setiap dua atau tiga bulan. Dengan adanya kemudahan yang lebih selesa seperti di Sikuati, mereka tidak perlu lagi mengalih meja dan kerusi setiap kali berniaga,” katanya.

Beliau berkata, pelaksanaan premis tamu desa akan diteruskan di Sabah dan Sarawak sebagai sebahagian daripada usaha memperkasa usahawan tempatan.

Mengenai majlis itu, Ewon menekankan fokus tambahan Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) kepada Sabah dan Sarawak tanpa menjejaskan fokus sedia ada di seluruh negara, selaras dengan Dasar Pandang Ke Timur Dalam Negara (Perspektif KUSKOP).

“Di bawah dasar ini, beberapa inisiatif telah dan sedang dilaksanakan, termasuk BEEP Plus, Skim Pembiayaan Usahawan Tamu, Premis Tamu Desa, serta perluasan capaian perkhidmatan agensi KUSKOP ke kawasan pedalaman. Kudat dan Matunggong antara daerah yang mendapat manfaat daripada fokus tambahan ini,” katanya.

Bagi tahun 2024, KUSKOP dan agensi-agensinya telah menyalurkan RM9.577 bilion dalam bentuk pembiayaan dan geran kepada 333,625 usahawan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) serta koperasi di seluruh negara.

Daripada jumlah itu, RM1.088 bilion disalurkan kepada 42,688 usahawan PMKS dan koperasi di Sarawak dan sebanyak RM813 juta disalurkan kepada 53,398 usahawan PMKS dan koperasi di Sabah.

Selain itu, Ewon turut menyentuh mengenai inisiatif Ehsan@KUSKOP, yang bertujuan melengkapkan usaha pembangunan pendidikan dengan membantu keluarga miskin tegar di Sabah.

Sebagai projek rintis, program ini dilaksanakan di tiga kawasan parlimen di utara Sabah, iaitu Kudat, Kota Marudu, dan Kota Belud.

“Inisiatif ini adalah respon KUSKOP terhadap amanat Perdana Menteri dan juga usaha kementerian mengurangkan kadar kemiskinan yang masih tinggi di Sabah,” katanya.

Beliau berharap usaha bersama di bawah konsep whole of government akan dapat meningkatkan taraf hidup rakyat selaras dengan kerangka Malaysia MADANI.

Related Articles

253FansLike

Latest Articles