8,000 peluang pekerjaan bakal diwujudkan di Sogib Sipitang

Oleh ID


BEAUFORT: Sipitang bakal menjadi Hab Minyak dan Gas serta sektor tenaga di rantau ini susulan pelbagai projek mega yang akan dilaksanakan di Taman Perindustrian Minyak dan Gas Sipitang (Sogib) dalam masa terdekat.


Ahli Parlimennya, Datuk Matbali Musah berkata, antaranya kemasukan pelaburan baharu melibatkan Projek Hub Tenaga, Minyak dan Gas bernilai RM8.88 billion yang turut merangkumi pembinaan pelabuhan di Sogip.


Menurutnya, pelabuhan canggih itu juga akan menarik pelaburan tambahan dalam infrastruktur tenaga, kemajuan teknologi, dan pengembangan industri seterusnya menjadikan Sabah hab utama sektor tenaga di Asia Tenggara.


Selain itu katanya, turut akan dilaksanakan adalah projek Loji Penyimpanan dan Penapisan Minyak Petroleum bernilai RM15.5 billion yang akan bermula April tahun ini dan projek Kilang Keluli Hijau bernilai RM20 billion.


“Ini akan menjadikan Sipitang sebagai hab minyak dan gas serta tenaga yang berdaya saing di peringkat antarabangsa termasuk menjadi gerbang kepada perdagangan maritim di rantau ini.


“Selain memacu pertumbuhan ekonomi Sabah, ia juga akan memberi manfaat jangka panjang kepada warga setempat,” katanya ketika ditemui di Majlis Jamuan Moreh Pimpinan Parti Gagasan Rakyat Sabah (PGRS) Bahagian Lumadan, di sini.(24 Mac)


Hadir sama Ketua PGRS Bahagian Lumadan, Mazlan Joehari Manan


Matbali yang juga Pengerusi Lembaga Koko (Sabah) Malaysia berkata, dijangka puluhan ribu peluang pekerjaan akan dibuka susulan pelaksanaan projek-projek itu termasuk pelbagai manfaat ekonomi lainnya.


Menurutnya, sebanyak 8,000 peluang pekerjaan akan diwujudkan menerusi Projek Hub Tenaga, Minyak dan Gas yang merangkumi bidang kejuruteraan, pengangkutan, keselamatan operasi pelabuhan dan lojistik.


Katanya, manakala lebih 3,000 peluang pekerjaan bagi projek loji penyimpanan dan penapisan minyak petroleum semasa fasa pembinaannya dan lebih 1,000 pekerjaan tetap apabila beroperasi sepenuhnya.


“Secara keseluruhannya, semua projek ini bakal menyediakan puluhan ribu peluang pekerjaan langsung dan tidak langsung dalam pelbagai sektor, termasuk tenaga, pembuatan, kejuruteraan, dan perkhidmatan sokongan industri,” katanya.


Dalam pada itu, Matbali turut menggesa masyarakat setempat supaya mengambil peluang terhadap limpahan manfaat yang akan diperolehi khususnya dalam aspek perniagaan dan ekonomi tempatan.


“Sudah tentu, kemasukan pelaburan asing dan domestik ini akan mewujudkan permintaan tinggi terhadap kedai makan, inap desa, rumah sewa, kedai runcit dan perkhidmatan lainnya.


“Tidak ketinggalan, industri kecil dan sederhana (IKS) berasaskan minyak dan gas, logistik, dan perkhidmatan teknikal juga akan berkembang termasuk meningkatkan pendapatan daerah ini,” katanya.


Bagaimanapun katanya, semua limpahan ekonomi itu tidak seimbang sekiranya masalah utama melibatkan projek Lebuh Raya Pan Borneo bagi jajaran Beaufort ke Sipitang tidak diselesaikan segera.


Menurutnya, beliau sudah mengangkat masalah itu semasa sidang Parlimen, baru-baru ini dan telah menggesa kerajaan serta agensi bertanggungjawab untuk pastikan ia diambil perhatian.


“Kerosakan jalan raya akibat kelewatan projek Lebih Raya Pan Borneo ini menimbulkan banyak masalah kepada rakyat yang bukan saja dari segi kerosakan kenderaan tetapi juga keselamatan pengguna.


“Justeru, kerajaan dan kementerian berkaitan harus segera mencari penyelesaian kerana kita khuatir jika ia berlarutan, bukan pemimpin saja yang akan disalahkan rakyat tetapi juga kerajaan,” tegasnya.

Related Articles

253FansLike

Latest Articles