LAHAD DATU – Jelajah Iftar 2025 tajaan Kim Teck Cheong Consolidated Berhad (KTC) dengan kerjasama UPPM Sabah diteruskan hari ini di Kawasan Parlimen ke-22, iaitu Lahad Datu, melibatkan ADUN Tungku, Segama, Silam, dan Kunak.
Majlis berbuka puasa ini diadakan di Dewan Perdana Lahad Datu, dengan kehadiran 700 orang dan 50 penerima sumbangan khas daripada Benta Wawasan Berhad.
ADUN Kunak, Datuk Norazlinah Arif, amat berbangga kerana Parlimen Lahad Datu terpilih untuk terlibat dalam majlis ini. Beliau berbesar hati melihat semangat perpaduan yang ditunjukkan, di mana walaupun Pengarah Eksekutif KTC, Datuk Dexter Lau, berlainan bangsa dan agama, beliau tetap memastikan Hari Raya Aidilfitri disambut dengan meriah.
Datuk Norazlinah berharap KTC terus diberi rezeki yang melimpah dan mengucapkan terima kasih kepada Datuk Dexter dan Pengarah UPPM Sabah Datuk Awang Kadin atas sokongan dan sumbangan yang diberikan.
Datuk Dexter Lau pula berkata, sokongan kuat dari masyarakat dapat dilihat melalui sambutan Majlis Iftar dan Shopping Raya di Lahad Datu dan Kunak pada hari ini.
“Saya amat berbesar hati dapat memberi sumbangan dan membantu, meskipun peranan saya kecil dalam meringankan beban mereka,” kata Dexter.
KTC bukan sekadar syarikat pengedaran biasa, tetapi juga memiliki pelbagai bahagian operasi yang saling melengkapi dalam ekosistem perniagaannya. Bahagian utama termasuk Bahagian Pembuatan, Bahagian Teknologi, Bahagian Penghantaran, Bahagian Perdagangan, dan Bahagian Logistik. Setiap bahagian ini memainkan peranan penting dalam memastikan kelangsungan dan pertumbuhan syarikat, dengan keupayaan untuk menguruskan rantaian bekalan secara menyeluruh, dari pengeluaran hingga penghantaran kepada pelanggan.
Turut hadir termasuk Pengarah UPPM Sabah Datuk Awang Kadin, pemimpin tempatan, wakil KTC dan pegawai UPPM.