Koperasi berperanan bangunkan potensi kampung sebagai tarikan pelancongan

KOTA KINABALU: Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick berkata, koperasi memainkan peranan penting dalam membangunkan potensi kampung sebagai destinasi pelancongan.

Sehubungan itu beliau menggalakkan koperasi-koperasi pelancongan supaya melipatgandakan usaha mempromosikan produk pelancongan di kawasan masing-masing sebagai persediaan ke arah Tahun Melawat Malaysia 2026.

“Tahun depan adalah Tahun Melawat Malaysia, ini peluang terbaik kepada semua koperasi yang terlibat dalam sektor pelancongan untuk terus berkembang seiring dengan pengusaha pelancongan lain di negara ini.

“Kementerian saya, melalui Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM), bersedia membantu koperasi-koperasi pelancongan agar mampu menyediakan perkhidmatan setanding dengan syarikat dan usahawan pelancongan lain,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas mengadakan lawatan ke Koperasi Desa Cinta Kobuni Berhad (KOBUNI) dan Majlis Ramah Mesra Bersama Komuniti dan Ahli-Ahli Koperasi Kawasan Inanam, di Dewan Pisompuruan Kg.Kobuni, dekat sini, semalam.

Koperasi Desa Cinta Kobuni Berhad didaftarkan pada tahun 2018, menjalankan pelbagai aktiviti perniagaan termasuk pelancongan, inap desa dan pendakian (hiking), yang turut memberi peluang pekerjaan kepada anggota dan penduduk kampung.

Pada Januari lalu Homestay Desa Cinta Kobuni yang diusahakan oleh koperasi itu menerima Anugerah Asean Homestay Standard Awards.

Ewon berbangga kerana walaupun koperasi itu berskala kecil, mereka berjaya menguruskan perniagaan pelancongan dan inap desa dengan cemerlang, sehingga menerima pengiktirafan di peringkat Asean.

“Saya berharap kejayaan koperasi ini akan menjadi inspirasi dan motivasi kepada koperasi-koperasi lain untuk turut membangunkan potensi pelancongan desa dan memperkukuhkan ekonomi komuniti setempat.

“Dalam kunjungan ini, saya juga diberi taklimat mengenai wawasan koperasi serta rancangan perniagaan pada masa hadapan. Saya meminta Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) dan Institut Koperasi Malaysia (IKMA) membimbing koperasi ini ke arah mencapai wawasan tersebut,” katanya.

Ewon turut menggalakkan Koperasi Desa Cinta Kobuni supaya menggunakan sepenuhnya media sosial untuk mempromosikan keindahan dan produk-produk pelancongan di kampung itu.

“Walaupun Kampung Kobuni Inanam, sudah lama dikenali ramai pengunjung dari dalam dan luar negara kerana keindahan alam semula jadi dan kebersihan kampung, namun usaha berterusan perlu dilipat gandakan bagi menarik lebih ramai pelancong berkunjung ke sini,” katanya.

Untuk menyokong wawasan koperasi tersebut, Ewon meluluskan peruntukan RM30,000 untuk menaiktaraf bangunan balai raya yang digunakan oleh koperasi dan RM20,000 lagi kepada Komuniti Rukun Tetangga (KRT) kampung tersebut untuk melaksanakan aktiviti-aktiviti perpaduan rakyat.

Related Articles

253FansLike

Latest Articles