SANDAKAN: Sebatang pokok besar tumbang dan menghempap sebuah rumah kayu di Kampung Gelam Bukit, Jalan Leila, susulan tanah menjadi longgar akibat hujan berterusan sejak beberapa hari lalu.
Kejadian yang hampir meragut nyawa itu bagaimanapun tidak melibatkan sebarang kecederaan selepas penghuni rumah sempat keluar menyelamatkan diri sebelum struktur kediaman itu mengalami kerosakan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Karamunting, Datuk George Hiew Vun Zin segera turun padang meninjau lokasi kejadian dan mengarahkan pasukan khas ADUN Karamunting serta agensi berkaitan mempercepatkan kerja pembersihan bagi menjamin keselamatan penduduk.
Katanya, pasukan beliau akan terus membantu keluarga terjejas dan memastikan kerja pembersihan diselesaikan secepat mungkin.
“Kerja pembersihan tidak dapat diselesaikan sepenuhnya semalam, jadi ia disambung hari ini dan berjaya disiapkan pada jam 3.30 petang,” katanya di dalam kenyataan selepas tinjauan beliau.
Beliau turut mengingatkan penduduk supaya lebih berwaspada sepanjang musim hujan, khususnya di kawasan cerun dan berisiko pokok tumbang.
“Jika ada sebarang kejadian yang mencurigakan atau berbahaya, laporkan segera kepada pihak berkuasa agar tindakan pantas dapat diambil dan risiko dapat dikurangkan,” tambahnya.